Pengguna pengangkutan awam masih rendah, Selangor tambah baik akses perkhidmatan

10 Nov 2026, 3:00 AM
Pengguna pengangkutan awam masih rendah, Selangor tambah baik akses perkhidmatan
Pengguna pengangkutan awam masih rendah, Selangor tambah baik akses perkhidmatan
Pengguna pengangkutan awam masih rendah, Selangor tambah baik akses perkhidmatan
Pengguna pengangkutan awam masih rendah, Selangor tambah baik akses perkhidmatan
Pengguna pengangkutan awam masih rendah, Selangor tambah baik akses perkhidmatan

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Selangor menumpukan usaha menambah baik kemudahan perjalanan awal dan akhir (first mile dan last mile) bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu penting bagi mengatasi kekurangan akses yang menghubungkan pengguna dari kediaman ke stesen atau hentian pengangkutan awam, serta ke destinasi akhir.

“Antara hal yang paling besar atau isu yang paling besar dalam pengangkutan awam ini adalah ‘first mile dan last mile’. Dari pejabat sampai ke stesen, dari stesen nak pergi ke rumah. Ini benda asas yang selalu tertinggal dan perlu diisi.

“Kalau hanya sekangkang kera atau mungkin dalam 200 meter hingga 500 meter, sebenarnya kita boleh berjalan kaki sahaja. Tetapi kita berdepan dengan cuaca panas dan juga keadaan bentuk muka bumi.

“Saya perlu akui bahawa ini kelemahan kita di saat ada kemudahan yang besar atau pun ada kemudahan yang sedang dibina tetapi ‘first mile dan last mile’ itu tidak termasuk dalam rencana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi wawancara khas bersama Media Selangor sempena pembentangan Belanjawan Selangor 2027 yang diadakan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri memperkenalkan Bas Smart Selangor bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta menyediakan pilihan perjalanan yang mudah diakses rakyat.

Jelasnya, usaha itu turut diperkukuh menerusi peluasan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) bagi melengkapkan jaringan pengangkutan awam dan memudahkan perjalanan pengguna.

“Namun, kita mengakui keberkesanan perkhidmatan Bas Smart Selangor dan DRT masih belum mencapai tahap yang diharapkan dan memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Perkhidmatan DRT itu kita sudah cuba, tetapi masih kurang (mendapat sambutan), bagi saya. Sekarang rupanya, isu sebenarnya adalah ‘first mile dan last mile’.

“Jadi kita akan tumpu hal tersebut supaya mempermudahkan orang awam dari satu kejiranan melintas ke kawasan komersial untuk sampai stesen LRT atau sebaliknya. Ini adalah perkara asas yang mungkin tertinggal dan perlu dilakukan segera pada 2027,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor dilapor bercadang melaksanakan audit berterusan bagi mengenal pasti laluan pejalan kaki ke stesen pengangkutan awam yang bermasalah dan memerlukan pembaikan segera.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata, audit itu akan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan dengan tumpuan kepada laluan sekitar stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT).

Pada 1 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian subsidi tambang RM30 sebulan menerusi Pakej Daya Tahan Selangor menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam.

Program itu menawarkan subsidi tambang kepada 50,000 pemohon yang layak bagi tempoh enam bulan sehingga Disember 2026.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.