SHAH ALAM, 12 MEI: Kerajaan Negeri mahu perkhidmatan Demand-Responsive Transit (DRT) dan Rapid KL terus bekerjasama bagi memperluaskan capaian pengangkutan awam di Selangor, khususnya membabitkan kesalinghubungan perjalanan pertama dan terakhir (first and last mile connectivity) di seluruh negeri.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pendekatan kerjasama itu penting bagi memastikan sistem pengangkutan awam di negeri ini lebih menyeluruh dan berkesan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri tidak berhasrat bersaing dengan pengendali pengangkutan awam sedia ada, sebaliknya mahu bertindak sebagai pemudah cara dalam memperkukuh rangkaian mobiliti rakyat.
“Saya percaya kita tidak sepatutnya bersaing dalam mengendalikan perkhidmatan pengangkutan awam. Rapid KL mempunyai armada, pasukan dan peruntukan yang lebih besar berbanding Kerajaan Negeri, jadi kita perlu bekerjasama.
“Pada masa sama, kita juga terbuka kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai pasaran ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan peluasan perkhidmatan Rapid On-Demand di Selangor yang kini meliputi 87 zon dengan pengoperasian 237 van, berbanding hanya empat zon ketika mula diperkenalkan.
Menurutnya, perkembangan itu membuktikan perkhidmatan DRT mampu memperkukuh sistem pengangkutan awam terutama dalam melengkapkan rangkaian ke kawasan perumahan dan komersial yang kurang mendapat liputan pengangkutan tetap.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri akan memperkenalkan subsidi bulanan RM30 kepada pengguna DRT bermula Jun ini, tertakluk kepada pemuktamadan mekanisme agihan.
Katanya, subsidi berkenaan dijangka disalurkan menerusi dompet digital bagi membantu meringankan kos perjalanan pengguna selepas Prasarana Malaysia Berhad menamatkan liputan pas perjalanan My50 untuk perkhidmatan Rapid On-Demand.
Sementara itu, beliau berkata Selangor kini sedang merangka Pelan Induk Mobiliti Selangor yang akan menjadi garis panduan utama kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) serta operator pengangkutan awam di negeri ini.
Menurutnya, pelan induk berkenaan penting bagi memastikan pembangunan sistem mobiliti yang lebih tersusun, menyeluruh dan tidak bergerak secara berasingan mengikut kawasan.
“Pengangkutan awam perlu dilihat sebagai satu ekosistem. Kita tidak boleh mempunyai peraturan dan pendekatan berbeza mengikut bandar atau daerah.
“Pelan induk ini akan menyelaras semua PBT supaya setiap pembangunan baharu mengambil kira aspek mobiliti secara lebih holistik,” katanya.
Beliau berkata pelan induk itu dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini sebelum dilancarkan awal tahun depan, selain Kerajaan Negeri turut mendapatkan maklum balas orang ramai bagi mengenal pasti jurang serta keperluan mobiliti yang masih belum dipenuhi di Selangor.












