SHAH ALAM, 7 OKT: Penyalahgunaan dadah kini semakin kompleks dan turut melibatkan kaedah baharu termasuk penggunaan vape.
Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata perkembangan itu amat membimbangkan dan memerlukan pendekatan lebih menyeluruh merangkumi aspek pencegahan, pemantauan serta operasi penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.
“Jumlah penyalahgunaan dadah yang berlaku ketika ini sangat membimbangkan dan kita berharap pihak berkuasa dapat membantu dari segi operasi serta langkah pencegahan. Usaha berterusan perlu diperkukuh bagi memastikan masalah ini dapat ditangani.
“Dadah sekarang bukan hanya dalam bentuk ganja tetapi semakin kompleks termasuk melalui vape. Perkembangan ini perlu diberi perhatian kerana kaedah penyalahgunaan bahan terlarang kini semakin pelbagai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyerahan Pembungkusan SIRIM kepada usahawan PLATS di Pejabat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di sini, semalam.

Mohd Najwan yang juga EXCO Belia berkata terdapat usul daripada perwakilan belia supaya penggunaan vape serta elemen berkaitan turut diberikan perhatian dalam usaha membendung penyalahgunaan bahan terlarang.
Menurutnya, meskipun perkara berkaitan kesihatan dan kawalan produk terbabit berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia memberikan sokongan terhadap usaha mencegah penyalahgunaan dadah.
“Semalam saya turut mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Selangor dan terdapat usul supaya penggunaan vape dan elemen berkaitan diharamkan sekali gus menjadi antara sasaran dalam agenda negeri untuk mengawal penggunaannya.
“Bagaimanapun, cabaran kita ialah bahan-bahan ini masih boleh diperoleh dengan mudah melalui platform dalam talian. Sebab itu pendekatan pencegahan perlu diperkukuh dan kerjasama antara semua pihak perlu diteruskan,” tambahnya.

Mohd Najwan berkata Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi pemantauan di sekolah, pemeriksaan mengejut, program kesedaran serta bimbingan kepada golongan muda.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan seramai 130,307 penagih dadah berusia 15 hingga 39 tahun direkodkan setakat Jun lalu, dengan majoriti berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah.
Beliau berkata Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mencatatkan trend penggunaan serta penyalahgunaan dadah yang membimbangkan kerana melebihi nisbah nasional, iaitu 381 kes bagi setiap 100,000 penduduk.









