Pinjam RM3,000, usahawan PLATS pernah catat jualan RM80,000 sebulan

8 Ogos 2026, 1:00 PM
Pinjam RM3,000, usahawan PLATS pernah catat jualan RM80,000 sebulan
Pinjam RM3,000, usahawan PLATS pernah catat jualan RM80,000 sebulan

SUBANG JAYA, 8 OGOS: Hanya bermula dengan pinjaman RM3,000 menerusi Platform Selangor (PLATS), Nurliyana Habul Abas tidak menyangka perniagaan pastrinya berkembang sehingga pernah mencatat hasil jualan RM80,000 sebulan.

Daripada seorang suri rumah, wanita berusia 36 tahun itu kini mengusahakan Bakeri Yana di Kajang dan mampu membuka peluang pekerjaan kepada orang lain hasil pengalaman serta ilmu yang diperoleh sepanjang menyertai PLATS.

"PLATS banyak mengajar saya supaya jangan hanya jadi 'tukang buat produk', sebaliknya kita perlu menjadi usahawan.

"Sebagai usahawan, kita perlu fikir bagaimana mahu memajukan perniagaan bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi turut membuka peluang dan berkongsi rezeki dengan orang di sekeliling," katanya kepada Media Selangor.

Nurliyana menerima Anugerah Usahawan Cemerlang PLATS Biaya yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS), semalam.

Bagaimanapun, pencapaian itu tidak kekal tanpa cabaran apabila perubahan proses pembekalan makanan ke sekolah menyebabkan sebahagian pelanggan sekolah menarik diri daripada mendapatkan bekalan roti.

Keadaan itu mendorong Nurliyana menyusun semula strategi dengan memberi tumpuan kepada produk donat dan menyertai pelbagai acara bagi mendapatkan pasaran baharu.

"Jadi kami terpaksa tukar strategi dan mula fokus kepada produk donat serta menyertai pelbagai acara. Sekarang ini kami bermula semula dari bawah. Jualan kini sekitar RM10,000 hingga RM20,000 sebulan dan Insya-Allah saya yakin boleh capai semula RM80,000.

“Walaupun sekali lagi bermula semula, tapi kami tetap dibantu PLATS,” katanya yang menyertai tiga siri Bootcamp PLATS.

Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja membekalkan ilmu perniagaan, malah turut menyediakan peranti perniagaan yang masih digunakannya sehingga kini.

Mengimbas permulaan pembabitannya dalam PLATS, Nurliyana berkata beliau mula mengenali program itu ketika berniaga di SACC Mall sebelum mendaftar dan terpilih menyertai siri Bootcamp PLATS.

"Ketika itu saya memang tidak mempunyai ilmu berkaitan perniagaan. PLATS banyak membantu saya dari segi ilmu, bimbingan dan cara berfikir sebagai seorang usahawan.

"Saya sangat bersyukur kerana peluang ini mengubah cara saya melihat perniagaan," katanya.

Bagi Nurliyana, pengalaman membina semula perniagaan selepas berdepan perubahan pasaran menjadi sebahagian daripada proses untuk terus berkembang sebagai usahawan.

MAPS yang memasuki edisi ketiga merupakan hasil kerjasama strategik antara Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dianjurkan Yayasan MBI, MAPS memberikan pengiktirafan kepada usahawan mikro yang menunjukkan prestasi cemerlang menerusi 23 pengiktirafan dalam sembilan kategori, termasuk inovasi, pendigitalan, pembangunan komuniti, kepimpinan wanita dan belia serta penggunaan teknologi dalam perniagaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.