SHAH ALAM, 18 OKT: Seramai 1,313 peserta mengikuti 61 sesi latihan bimbingan percuma menerusi Program Platform Selangor (PLATS) Transisi Kerjaya di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor setakat ini.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata program tersebut memberi pendedahan kepada peserta dalam bidang keusahawanan digital, termasuk pemasaran gabungan (affiliate) di TikTok, perniagaan francais dan stokis.
“Kita buka pendaftaran sejak tiga hingga empat bulan yang lalu dan pendaftaran setakat ni sudah hampir 10,000 mendaftar. Kuota kita 5,000 menerusi peruntukan RM4 juta dalam Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor.
“Program ini juga bukan hanya tertumpu kepada mereka yang kehilangan pekerjaan sahaja tetapi kepada sesiapa juga yang mahu menambah pendapatan terutama yang nak belajar affiliate itu,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, pendaftaran masih dibuka dengan sasaran penyertaan seramai 5,000 peserta yang layak mengikuti latihan berkenaan.
Beliau berkata mereka yang berminat boleh mendaftar di laman sesawang PLATS dan kerjasama turut dijalin dengan wakil rakyat serta institusi pendidikan tinggi termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Selangor (UNISEL) bagi meluaskan penyertaan.
“Program ini adalah percuma dan setiap yang datang kelas kita mereka akan dapat elaun kehadiran dalam RM50 melalui aplikasi NINE.
“Kelas juga ada beberapa siri, selepas sesi pertama akan ada sesi upgrade dan mereka juga akan menerima data internet percuma dan dongle sekitar 20GB sebulan selama setahun,” katanya.
PLATS Transisi Kerjaya diperkenalkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 bagi membuka peluang kepada individu yang kehilangan pekerjaan menceburi bidang keusahawanan.
Ketika membentangkan pakej berkenaan Jun lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata program itu diperuntukkan RM4 juta bagi membolehkan peserta mengikuti latihan dan pendedahan kepada strategi asas perniagaan sebelum memulakan perusahaan masing-masing.









