Permohonan BINGKAS 3.0 dibuka esok, terima RM300 sebulan selama setahun

9 Nov 2026, 3:34 AM
Permohonan BINGKAS 3.0 dibuka esok, terima RM300 sebulan selama setahun

SHAH ALAM, 9 NOV: Permohonan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) 3.0 bagi kategori tanggungan kanak-kanak dibuka mulai esok, dengan penerima layak bakal menerima bantuan RM300 sebulan selama 12 bulan.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata permohonan dibuka mulai jam 10 pagi, menerusi aplikasi SELangkah.

“Melalui pelaksanaan BINGKAS 3.0 ini, setiap penerima yang layak bakal menerima bantuan kewangan bernilai RM300 sebulan bagi tempoh manfaat selama setahun.

“Bantuan ini boleh digunakan bagi membeli keperluan asas seperti makanan ruji, barangan keperluan harian termasuk kelengkapan persekolahan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Syarat kelayakan adalah pemohon warganegara Malaysia dan pemilih berdaftar di Selangor, mempunyai pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah serta menanggung sekurang-kurangnya dua anak berusia bawah 18 tahun.

Pemohon juga mestilah tidak pernah menerima Bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS). Maklumat lanjut berhubung BINGKAS 3.0 boleh diperoleh menerusi laman web rasmi BINGKAS https://bingkasselangor.com/.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata transaksi bantuan turut dipermudah menerusi penggunaan MyKad di kedai rakan niaga berdaftar yang terpilih.

Selain itu, katanya, tempoh manfaat BINGKAS 3.0 kini diselaraskan daripada 24 bulan kepada 12 bulan bagi membolehkan semakan semula dan proses pembaharuan dilaksanakan setiap tahun.

“Penyelarasan tempoh manfaat daripada 24 bulan kepada 12 bulan ini membolehkan semakan semula serta proses pembaharuan dilaksanakan secara tahunan bagi memastikan bantuan diberikan secara lebih bersasar,” katanya.

BINGKAS antara 46 inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang yang diperkenalkan pada 2022 bagi menggantikan skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).

Sejak tahun lalu, syarat kelayakan BINGKAS diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 sebulan berbanding had RM3,000 sebelum ini, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat Selangor menerima manfaat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.