
SHAH ALAM, 29 SEPT: Bantuan untuk golongan bapa tunggal perlu diperluas pada belanjawan Selangor 2027 bagi meringankan beban mereka mengurus keluarga dan membesarkan anak tanpa pasangan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee berkata golongan tersebut memikul tanggungjawab besar lebih-lebih lagi merupakan pencari nafkah Utama.
“Ramai bapa tunggal yang datang jumpa saya. Ibu tunggal dan bapa tunggal ini memang ada beban yang berat sebab pasangan mungkin sudah tiada atau meninggalkan mereka, jadi mereka kena jaga anak-anak.

“Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan bagaimana kita boleh tawarkan lebih kepada mereka untuk membantu mendidik anak-anak dan dalam kehidupan mereka,” katanya dalam program SKOP Belanjawan Selangor 2027 terbitan Media Selangor, baru-baru ini.
Tony turut memberi contoh Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) sebagai antara contoh inisiatif Kerajaan Negeri yang boleh diperkukuh bagi membantu golongan berkenaan.
Berdasarkan syarat semasa, bapa tunggal termasuk antara kategori yang layak memohon BINGKAS sekiranya mempunyai sekurang-kurangnya dua anak atau tanggungan berusia 18 tahun ke bawah serta memenuhi kriteria ditetapkan.

Penerima yang layak menerima bantuan RM300 sebulan menerusi e-dompet BINGKAS bagi pembelian barangan keperluan, kelengkapan pendidikan dan kesihatan.
Dalam Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri turut memperluas pendekatan bantuan sara hidup menerusi beberapa inisiatif termasuk BINGKAS Tambahan (BINGKASAN) dan BINGKAS PLUS, selain terus memberi perhatian kepada golongan rentan.







