SHAH ALAM, 27 JUN: Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan penyebaran pautan dan iklan palsu berkaitan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) yang dikesan cuba memperdaya orang awam.
EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata pihaknya menerima maklumat terdapat individu tidak bertanggungjawab menyebarkan pautan serta iklan palsu yang mendakwa permohonan BINGKAS telah dibuka.
Beliau menegaskan dakwaan itu adalah palsu kerana pendaftaran bagi program berkenaan masih belum dibuka kepada orang ramai.
“Justeru, saya menyeru semua agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pautan, iklan atau individu yang mendakwa pendaftaran telah dibuka atau meminta bayaran bagi tujuan permohonan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Anfaal turut menegaskan sebarang pengumuman rasmi berkairan BINGKAS hanya akan dibuat menerusi saluran rasmi Kerajaan Negeri.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mengklik sebarang pautan, berkongsi maklumat atau mengisi butiran peribadi bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Katanya, langkah berwaspada itu penting memandangkan sindiket penipuan kini semakin licik menggunakan nama program bantuan kerajaan bagi memperdaya orang ramai.
“Saya berharap orang ramai dapat membantu menyebarkan peringatan tersebut kepada ahli keluarga dan rakan-rakan supaya lebih peka serta tidak menjadi mangsa scam,” katanya.
BINGKAS merupakan sebahagian daripada 46 insentif di bawah Iltizam Selangor Penyayang yang diperkenalkan pada 2022, menggantikan skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).
Bermula tahun lalu, syarat permohonan BINGKAS turut dilonggarkan kepada isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.







