MB: Selangor teliti kos penggabungan NINE, SELangkah elak terlalu tinggi

13 Ogos 2026, 5:08 AM
MB: Selangor teliti kos penggabungan NINE, SELangkah elak terlalu tinggi
MB: Selangor teliti kos penggabungan NINE, SELangkah elak terlalu tinggi

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Negeri akan meneliti kos peralihan bagi penggabungan aplikasi NINE dan SELangkah bagi memastikan usaha mewujudkan satu aplikasi bersepadu atau 'Super App' tidak melibatkan perbelanjaan terlalu tinggi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata arahan penggabungan kedua-dua platform itu dibuat tahun ini bagi menyatukan pelbagai perkhidmatan dan inisiatif Kerajaan Negeri dalam satu aplikasi.

“Kita juga mahu melihat supaya kos transisi itu tidak terlalu besar dan kita telah arahkan untuk dilaksanakan.

“Sekarang kita akan menggabungkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dan program lain supaya SELangkah dan NINE digabungkan.

“Tetapi kita memerlukan sedikit masa kerana ia melibatkan dua entiti iaitu Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Nurul Syazwani Noh mengenai aplikasi digital NINE pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 13 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata SELangkah mula digunakan ketika pandemik Covid-19 pada 2020 sebagai platform penjejakan kehadiran sebelum fungsinya diperluaskan kepada beberapa inisiatif Kerajaan Negeri termasuk pembayaran BINGKAS.

“SELangkah telah digunakan sejak 2020 ketika pandemik sebagai penjejak kehadiran. Sebelum aplikasi MySejahtera, sebenarnya SELangkah telah mendahului dan digunakan sehingga mencecah 14 juta pengguna, sampai ke Perlis malah hampir seluruh Semenanjung,” ujarnya.

Menurutnya, penggabungan itu bertujuan menyatukan kekuatan kedua-dua platform digital sekali gus memudahkan rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan dan inisiatif Kerajaan Negeri.

Tambahnya, 'Super App' itu kelak akan merangkumi pelbagai fungsi termasuk urusan parkir, permohonan perkhidmatan serta akses kepada inisiatif Kerajaan Negeri.

“Arahan pihak Kerajaan Negeri memang supaya ia digabungkan dan menjadi satu 'Super App'.

“'Super App' ini boleh digunakan semua, daripada penggunaan parkir sampailah kepada permohonan aplikasi hinggalah kepada inisiatif Kerajaan Negeri yang akan dilaksanakan,” katanya.

Mengulas mengenai NINE, Amirudin berkata aplikasi di bawah MBI yang mengurus pelbagai perkhidmatan dan inisiatif Kerajaan Negeri itu dibangunkan pada 2025 dengan kos sekali bayar dianggarkan RM1.03 juta.

Menurutnya, kos berkenaan merangkumi pembangunan aplikasi, reka bentuk antara muka pengguna (UI/UX), pembangunan infrastruktur bahagian belakang sistem (backend), integrasi sistem serta pelaksanaan teknikal.

“Kos pembangunan ini ditanggung sepenuhnya oleh Wavepay Fintech Holdings Sdn Bhd dan tidak melibatkan peruntukan tambahan daripada Kerajaan Negeri.

“Tiada sebarang pemaju yang dilantik bagi pembangunan aplikasi NINE ini, sebaliknya aplikasi ini dibangunkan secara dalaman atau 'in-house' melalui kepakaran sedia ada oleh Wavepay,” katanya.

Amirudin berkata Wavepay merupakan anak syarikat milik MBI melalui Selangor E-Wallet Sdn Bhd serta mempunyai kepakaran dalam pembangunan aplikasi digital dan industri teknologi kewangan.

“Maknanya ia dibangunkan sendiri oleh MBI setelah MBI menguasai hampir sepenuhnya Wavepay ini untuk dijadikan sebagai platform digital dalam aplikasi Kerajaan Negeri,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.