Belanjawan Selangor 2027: REHDA saran langkah perkukuh kemampuan rakyat miliki rumah

3 Nov 2026, 6:30 AM
Belanjawan Selangor 2027: REHDA saran langkah perkukuh kemampuan rakyat miliki rumah
Belanjawan Selangor 2027: REHDA saran langkah perkukuh kemampuan rakyat miliki rumah
Belanjawan Selangor 2027: REHDA saran langkah perkukuh kemampuan rakyat miliki rumah

BANGI, 3 NOV: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Selangor mencadangkan beberapa penambahbaikan dasar perumahan dalam Belanjawan Selangor 2027 bagi mengurangkan kos pembangunan, sekali gus membantu memastikan lebih ramai rakyat mampu memiliki rumah.

Pengerusinya, Dato' Edward Chong Sin Kiat berkata, kerjasama Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan penting bagi menangani peningkatan kos pembinaan serta pengangkutan yang boleh memberi kesan kepada harga rumah.

Pengurusi REHDA Selangor, Dato' Edward Chong Sin Kiat ditemui selepas Program REHDA Selangor Housing Convention 2026 di Bangi Resort Hotel, Bangi pada 3 November 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

"Kos menjalankan perniagaan semakin meningkat. Untuk memastikan harga rumah kekal mampu milik, semua pihak berkepentingan perlu memainkan peranan dalam mengurangkan kos.

"Kami berharap Kerajaan Negeri dapat meneliti beberapa dasar yang boleh membantu mengurangkan tekanan kos dihadapi pemaju ketika ini," katanya ketika ditemui pada Konvensyen Perumahan REHDA Selangor 2026 di sini, hari ini.

Pengurusi REHDA Selangor, Dato' Edward Chong Sin Kiat melakukan gimik pelancaran Program REHDA Selangor Housing Convention 2026 di Bangi Resort Hotel, Bangi pada 3 November 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Antara langkah dicadangkan ialah pelaksanaan sebahagian syarat pembangunan rumah mampu milik secara berperingkat bagi mengurangkan komitmen kewangan pemaju.

Edward turut mencadangkan kelonggaran sementara terhadap syarat penjualan unit Bumiputera yang telah siap dibina tetapi masih belum terjual.

Menurutnya, langkah itu dapat membantu pemaju memperoleh aliran tunai untuk membiayai pembangunan projek perumahan baharu, selain mengelakkan unit berkenaan terus tidak terjual.

"Jika terdapat unit Bumiputera yang sudah siap tetapi masih belum terjual, mungkin kerajaan boleh melonggarkan sedikit syarat penjualannya dalam tempoh ini.

"Ini membolehkan pemaju memperoleh aliran tunai untuk membangunkan projek baharu berbanding membiarkan unit berkenaan terus kosong," katanya.

Antara tetamu yang hadir ke Program REHDA Selangor Housing Convention 2026 di Bangi Resort Hotel, Bangi pada 3 November 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Mengulas cabaran industri perumahan, beliau berkata peningkatan kos pembinaan dan sara hidup boleh menjejaskan kemampuan rakyat untuk membeli rumah.

Katanya, apabila pendapatan boleh guna isi rumah semakin berkurangan, pengguna cenderung menangguhkan pembelian besar seperti kediaman.

"Apabila kos sara hidup meningkat, pendapatan boleh guna isi rumah semakin berkurangan.

"Dalam keadaan ini, pengguna cenderung menangguhkan pembelian besar seperti rumah. Itulah antara kebimbangan kami sebagai pemaju," jelasnya.

Dalam pada itu, Edward menyifatkan Skim Smart Sewa yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sebagai pendekatan positif untuk membantu golongan yang belum berkemampuan membeli rumah secara terus.

Menurutnya, skim berkenaan memberi peluang kepada golongan itu menyewa terlebih dahulu sebelum beralih kepada pemilikan kediaman.

"Jika seseorang belum mampu membeli rumah secara terus, kita perlu mencari kaedah alternatif untuk membantu mereka.

"Melalui skim sewa untuk milik, mereka boleh menyewa terlebih dahulu sebelum bayaran sewa itu secara berperingkat ditukar kepada pemilikan rumah. Saya fikir ini satu skim yang baik," katanya.

Beliau berkata, usaha mengurangkan kos pembangunan dan menyediakan kaedah pemilikan alternatif penting bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman mengikut kemampuan masing-masing.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.