KUALA LUMPUR, 8 NOV: Sambutan Deepavali diraikan penuh meriah oleh penganut Hindu di seluruh negara hari ini bermula dengan upacara keagamaan, kunjungan ke rumah ibadat serta amalan ziarah-menziarahi.
Tinjauan di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di sini, mendapati pekarangan rumah ibadat itu mula dipenuhi orang ramai seawal pagi, termasuk keluarga berpakaian tradisional bagi menunaikan upacara keagamaan.
Seorang pengunjung, Vishnu, 36, yang hadir bersama isteri dan dua anaknya berkata tradisi mengunjungi kuil berkenaan diamalkan sejak kecil dan kini diteruskan bersama keluarganya, di samping melahirkan rasa bangga melihat kehadiran pelancong serta masyarakat pelbagai kaum yang turu memeriahkan suasana.
Sementara itu di SELANGOR, A. Narmatha, 23, ketika ditemui selepas menjalankan upacara sembahyang di Kuil Ellai Muniyandi, Setia Alam berharap perayaan kali ini membawa limpahan kebaikan serta keceriaan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi hantaran di laman Facebook berkata, Deepavali di negeri itu terus menjadi wadah mengukuhkan keharmonian komuniti majmuk, selain memberi jaminan kebajikan masyarakat India sentiasa diperkasakan menerusi pelbagai inisiatif kerajaan negeri.
Di PERAK, kira-kira 10,000 penganut Hindu membanjiri Kuil Kallumalai Arulmigu Subramaniar di Gunung Cheroh, Ipoh bagi menunaikan upacara sembahyang seawal 6.30 pagi.
Pengerusi kuil berkenaan R. Seetharaman, 56, berkata kebanyakan penganut melakukan upacara sembahyang di rumah terlebih dahulu sebelum hadir ke kuil dan meneruskan tradisi menziarahi sanak saudara.
Tinjauan mendapati suasana di kuil berkenaan bertambah meriah dengan kehadiran pengunjung yang mengenakan pakaian tradisional berwarna-warni sambil membawa persembahan seperti bunga, susu dan buah-buahan sebagai tanda kesyukuran.

Di PULAU PINANG, kemeriahan perayaan dirasai di Kuil Muniswarar di Jalan Baru dan Kuil Arulmigu Karumariamman di Seberang Jaya yang menjadi tumpuan masyarakat pelbagai lapisan umur seawal pagi.
Seorang suri rumah, R. Dewi, 68, dari Seberang Jaya, menyifatkan perayaan kali ini sebagai platform terbaik mengeratkan silaturahim bukan sahaja sesama keluarga, malah bersama jiran tetangga berlainan kaum demi memastikan semangat perpaduan terus diwarisi generasi muda.
Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, pihak pengurusan Kuil Sri Bala Thandayuthapani di Seremban mengambil inisiatif membahagikan upacara keagamaan kepada dua sesi iaitu pada sebelah pagi dan petang bagi memastikan keselesaan penganut serta mengelakkan kesesakan.
Di KEDAH, sambutan tahun ini membawa kelegaan besar kepada penganut Hindu di Anak Bukit yang sebelum ini terjejas akibat bencana banjir.
Seorang penduduk, R. Nandran, 43, melahirkan rasa syukur kerana dapat menyambut perayaan dengan tenang bersama keluarga tanpa perlu bimbang kediaman dinaiki air seperti tahun lepas.
Beliau sekeluarga turut mengadakan rumah terbuka dengan menyediakan pelbagai hidangan halal termasuk kari kambing, tosei dan beriani bagi menyambut kehadiran rakan serta jiran berbangsa Melayu dan Cina.
Kelegaan sama disuarakan S. Khulanasari, 36, yang menetap di Pulau Pinang apabila pulang menyambut perayaan bersama ibu bapanya di Kuala Kedah selepas dua tahun tidak berpeluang berbuat demikian kerana kekangan tugas.
Di KELANTAN, komuniti India di Kampung Ladang Kerrila, Tanah Merah meraikan Pesta Cahaya secara sederhana namun penuh bermakna dengan memulakan hari dengan upacara keagamaan di Kuil Sri Maha Mariamman.
Penduduk, G. Maran, 45, berkata sambutan kali ini menjadi peluang terbaik mengumpulkan sanak saudara yang pulang ke kampung halaman untuk menikmati hidangan tradisional seperti maruku.
Di JOHOR, Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam di Johor Bahru yang telah berusia 115 tahun menjadi tumpuan kira-kira 2,500 penganut Hindu termasuk pekerja asing dari India dan Nepal.
Bendahari kuil Murali Sami berkata rumah ibadat bersejarah itu turut menarik kunjungan pelancong luar negara, khususnya dari negara barat dan China yang teruja menyaksikan keunikan seni bina serta tradisi masyarakat Hindu.
Di PAHANG, kediaman warga emas R. Palamal, 65, di Kuantan meriah menerima kunjungan lebih 30 sanak saudara dari merata tempat yang berkumpul meraikan perayaan bersama selepas menunaikan upacara sembahyang di Kuil Sri Mariamman.
Di PERLIS, biarpun bilangan masyarakat India kecil, sambutan di Kuil Arulmigu Arumugaswamy Dhevasthanam di Kangar tetap meriah seawal 7 pagi.
Pengerusi kuil Datuk Dr R. Hari Ram berkata pihaknya menganggarkan lebih 200 penganut mengunjungi kuil berkenaan, selain pihak pengurusan turut menyediakan dan mengagihkan makanan kepada penghuni rumah orang tua bagi berkongsi keceriaan Pesta Cahaya.







