SHAH ALAM, 8 NOV: Seramai 13 peniaga dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi peraturan harga kawalan menerusi pemeriksaan di beberapa lokasi sekitar Selangor, semalam.
Daripada jumlah itu, sembilan kompaun dikeluarkan atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, manakala empat lagi membabitkan kegagalan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu (pink tag) bagi barangan harga terkawal.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pemeriksaan dijalankan di premis perniagaan sekitar Bandar Bukit Raja, Klang; Pasar Basah Sungai Buloh dan Seksyen 15, Shah Alam.
Dalam operasi berasingan, KPDN Selangor Cawangan Gombak turut memeriksa premis sekitar Taman Selayang Baru bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan penandaan dan penetapan harga maksimum sepanjang tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026.

Pemeriksaan turut meliputi ketersediaan bekalan barangan keperluan serta pematuhan penggunaan label SIRIM pada minyak enjin kenderaan bermotor.
KPDN mengingatkan peniaga supaya sentiasa mematuhi peraturan penetapan harga dan mempamerkan tanda harga merah jambu pada barangan terpilih bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.
SHMMP Deepavali 2026 dilaksanakan selama tujuh hari, bermula 4 hingga 10 November, bagi memastikan pengguna mendapat bekalan barangan keperluan pada harga berpatutan sempena sambutan Deepavali pada 8 November.
Sebanyak 11 jenis barangan keperluan disenaraikan sebagai barangan harga terkawal tahun ini, berbanding sembilan jenis pada tahun lalu.
Dua barangan baharu yang ditambah ialah santan dan ubi kentang dari China bagi memperluas liputan kawalan harga sepanjang musim perayaan.







