Deepavali: Trafik lancar di kebanyakan lebuh raya, perlahan di PLUS dan KLK

8 Nov 2026, 3:23 AM
Deepavali: Trafik lancar di kebanyakan lebuh raya, perlahan di PLUS dan KLK

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama dilaporkan lancar pagi ini bersempena dengan sambutan Deepavali, namun pergerakan kenderaan perlahan di beberapa lokasi sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata setakat 9.52 pagi ini, aliran trafik di PLUS arah selatan dari Nilai ke Bandar Ainsdale bergerak perlahan berikutan pertambahan jumlah kenderaan manakala kesesakan sepanjang 3.1 kilometer dilaporkan berlaku di KLK arah timur dari Bentong ke Karak.

"Keadaan trafik di laluan Bentong ke Karak di KLK terjejas berikutan kemalangan yang menyebabkan lorong kanan terhalang dan kesesakan sejauh 3.1 kilometer," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata bersempena dengan musim perayaan, sebanyak 32 lorong pintar diaktifkan di lebuh raya utama di seluruh negara bagi memastikan kelancaran trafik.

LLM menasihati pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan, sentiasa memberikan tumpuan ketika memandu serta mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini melalui hotline LLM 1800-88-7752 yang beroperasi dari 7 pagi hingga 10 malam, selain laman sesawang www.llm.gov.my dan saluran media sosial rasmi LLM.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.