KUALA LUMPUR, 7 NOV: Pergerakan trafik di beberapa lebuh raya utama negara mula perlahan susulan peningkatan kenderaan petang ini berikutan orang ramai memulakan perjalanan sempena Deepavali esok.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata antara laluan terlibat ialah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E1 dari Trolak ke Bidor, Gopeng ke Simpang Pulai, Alor Pongsu ke Jawi serta Perai ke Bertam bagi arah utara manakala Perai ke Juru bagi arah selatan.
Di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E2, trafik meningkat dan perlahan di Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar, Bandar Seri Putra ke Bangi, Sedenak ke Ayer Hitam serta Skudai ke Senai bagi arah utara manakala arah selatan melibatkan Universiti Putra Malaysia (UPM) ke Bangi, Nilai ke Senawang dan Kempas ke Pasir Gudang.
“Trafik turut perlahan di Tambak Johor iaitu dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands, Singapura ke CIQ Sultan Iskandar, Johor bagi arah utara manakala di Lebuhraya Link Kedua, kesesakan dari Jambatan Link Kedua ke CIQ Sultan Abu Bakar, Johor juga bagi arah utara,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata pergerakan trafik turut meningkat di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), melibatkan laluan Gamuda Cove ke Bandar Saujana Putra dan Putra Heights ke Shah Alam bagi arah utara serta Putra Heights ke Gamuda Cove bagi arah selatan.
Di Lebuhraya Cheras-Kajang (GrandSaga), trafik perlahan dari Bandar Tun Hussein Onn ke Taman Suntex bagi arah utara.
Trafik juga dilaporkan perlahan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Plaza Tol Gombak ke Lentang dan Kilometer 78.9 ke Plaza Tol Karak bagi arah timur.
Selain itu, di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), trafik perlahan melibatkan laluan Bandar Tasik Selatan ke Kuchai serta Serdang ke Pekan Sungai Besi bagi arah utara.
Di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), laluan terlibat ialah Kelana Jaya ke Damansara Utama dan Bandar Bukit Puchong ke Jalan Majlis bagi arah utara manakala Penchala ke Damansara Utama serta Sunway ke Bandar Bukit Puchong bagi arah selatan.
Sementara itu, di Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), trafik dilaporkan perlahan dari Country Heights ke Putrajaya melalui Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) bagi arah barat serta Kajang Prima ke Kajang Perdana bagi arah timur.
Aliran trafik perlahan juga dilaporkan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) melibatkan laluan Kajang Selatan ke Semenyih bagi arah selatan manakala di SKVE, trafik perlahan dari MAEPS Serdang ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bagi arah timur.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian 1800-88-7752 yang beroperasi 24 jam dan platform X @plustrafik dan @llmtrafik.







