KLANG, 5 NOV: Lebih 160,000 kenderaan sehari dijangka menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sepanjang tempoh sambutan Deepavali bermula Jumaat ini, sekali gus mendorong pihak pengurusan lebuh raya itu mempertingkat kesiapsiagaan operasi bagi memastikan kelancaran trafik.
WCE dalam kenyataan memaklumkan persiapan itu dibuat susulan peningkatan pergerakan orang ramai yang pulang ke kampung halaman dan menuju ke destinasi percutian sempena cuti hujung minggu panjang, termasuk cuti umum gantian pada Isnin, 9 November.
Menurutnya, kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang memerlukan penutupan lorong akan ditangguhkan sementara dari 6 hingga 10 November ini, kecuali kerja pembaikan segera atau kecemasan.
Menurut kenyataan lagi, pasukan peronda lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) akan berada dalam keadaan siap siaga sepanjang masa, dengan sokongan trak tunda yang ditempatkan di lokasi strategik bagi mempercepatkan bantuan sekiranya berlaku kerosakan kenderaan atau insiden trafik.
Tambahan lagi, pemantauan dan penyelarasan tindakan secara berterusan turut diberi keutamaan bagi mengurangkan risiko kesesakan serta memastikan kelancaran pergerakan kenderaan di sepanjang lebuh raya.
Dalam pada itu, WCE menyambut baik pemberian diskaun tol 50 peratus kepada kenderaan Kelas 1 yang layak pada 6 dan 7 November ini bagi membantu mengurangkan kos perjalanan pengguna lebuh raya.
Pengguna turut digalakkan memanfaatkan aplikasi mudah alih WCE App yang menyediakan maklumat trafik masa nyata, paparan kamera litar tertutup (CCTV), panduan laluan serta lokasi kemudahan lebuh raya termasuk stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan telefon kecemasan.
Selain itu, enam kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang WCE menyediakan kemudahan asas seperti ruang parkir, surau dan tandas, manakala gerai makanan turut beroperasi di lokasi terpilih termasuk R&R Sungai Nyior dan Bukit Kapar.
Pengarah Urusan Lebuhraya WCE, Lyndon Alfred Felix berkata kerjasama serta sikap bertanggungjawab pengguna lebuh raya penting bagi memastikan keselamatan sepanjang musim perayaan.
"Pasukan operasi kami telah bersedia untuk menghadapi peningkatan trafik sepanjang tempoh ini. Namun begitu, keselamatan di jalan raya turut bergantung kepada sikap dan tindakan setiap pemandu.
“Justeru, kami menggalakkan pengguna agar merancang masa perjalanan, sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling serta mengamalkan sikap bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna supaya memeriksa keadaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan, mematuhi had laju, memastikan baki kad Touch 'n Go mencukupi serta mengelakkan pemanduan ketika letih.
WCE merupakan lebuh raya sepanjang 233 kilometer yang menghubungkan Banting, Selangor dengan Changkat Jering, Taiping, Perak.








