KUALA LUMPUR, 7 NOV: Orang ramai digalakkan memaklumkan ketiadaan di rumah kerana pulang ke kampung sempena Deepavali kepada polis menerusi kemudahan “Tinggalkan Rumah/Balik Kampung” dalam aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata maklumat itu membolehkan pihak polis merancang rondaan pemantauan kediaman secara lebih berfokus, tersusun dan bersasar.
Selain itu, orang ramai juga boleh mengisi Borang Maklumat Balik Kampung di balai polis berhampiran bagi tujuan sama.
“Berdasarkan rekod 2023, sebanyak 6,856 pengguna memanfaatkan kemudahan ini dengan tiada kes pecah rumah dilaporkan melibatkan kediaman mereka sepanjang tempoh pemantauan.
“Pencapaian ini menunjukkan potensi keberkesanan pendekatan pencegahan jenayah berasaskan kerjasama dan perkongsian maklumat antara polis dengan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Noor Hisam juga menasihatkan pemilik rumah untuk memastikan pintu dan tingkap dikunci dengan sempurna serta mengaktifkan sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) sebelum meninggalkan kediaman.
Beliau berkata kerjasama jiran juga penting bagi membantu memantau keselamatan rumah termasuk meninggalkan nombor telefon yang boleh dihubungi jika berlaku kecemasan.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak berkongsi maklumat perjalanan secara terbuka di media sosial dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada polis,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisam berkata JPJKK turut memperkukuh kerjasama dengan persatuan penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), pihak pengurusan kawasan perumahan dan komuniti setempat menerusi pendekatan kepolisan komuniti.
Beliau berkata jika pengguna jalan raya dan lebuh raya menghadapi ancaman jenayah, situasi tidak selamat atau kecemasan ketika perjalanan, mereka boleh mendapatkan bantuan awal di stesen minyak berhampiran yang menyertai inisiatif Go-To-Safety-Point (GTSP).
“JPJKK menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada, mengamalkan langkah pencegahan kendiri serta menjadikan keselamatan tanggungjawab bersama bagi memastikan sambutan Deepavali berlangsung dengan aman, selamat dan tenteram,” katanya.







