Trafik mulai sesak di lebuh raya utama, warga kota pulang ke kampung

6 Nov 2026, 9:10 AM
Trafik mulai sesak di lebuh raya utama, warga kota pulang ke kampung
Trafik mulai sesak di lebuh raya utama, warga kota pulang ke kampung
Trafik mulai sesak di lebuh raya utama, warga kota pulang ke kampung

SHAH ALAM, 6 NOV: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara mula bergerak perlahan petang ini susulan pertambahan kenderaan apabila warga kota pulang ke kampung sempena cuti Deepavali.

Keadaan itu menyebabkan kesesakan di beberapa laluan utama menghala ke utara dan selatan tanah air, dengan jumlah kenderaan meningkat secara berperingkat sejak tengah hari.

Berdasarkan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), kenderaan dilaporkan bertali arus sebaik keluar dari pintu gerbang ibu kota.

Bagi laluan menghala ke utara, kesesakan dikesan bermula dari kawasan Damansara dan Kota Damansara menuju ke Sungai Buloh.

Aliran trafik turut bergerak perlahan dari Sungai Buloh hingga ke Plaza Tol Rawang berikutan pertambahan jumlah kenderaan.

Selain itu, jumlah kenderaan yang tinggi turut dikesan di laluan mendaki Terowong Menora, sekali gus menyebabkan pergerakan trafik perlahan, lapor Harian Metro.

Sementara itu, laluan utama menghala ke selatan turut mencatatkan kesesakan, khususnya dari Bangi menuju ke Nilai dan Seremban.

Keadaan sama dilaporkan berterusan sehingga ke Tol Ayer Keroh susulan peningkatan kenderaan secara berperingkat sejak tengah hari.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan mematuhi Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disyorkan selain sentiasa memandu dengan cermat.

Pengguna juga diingatkan supaya memastikan baki kad Touch 'n Go atau e-dompet mencukupi bagi mengelakkan sebarang gangguan ketika melalui plaza tol.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.