Pendekatan Islam terhadap hubungan antara muslim dengan penganut agama lain perlu dibina atas dua prinsip yang seiring: menghormati kewujudan agama lain dan mempertahan batas akidah sendiri.
Kedua-duanya tidak bercanggah. Islam tidak mengajar umatnya memusuhi manusia hanya kerana berbeza agama. Islam juga tidak membenar umatnya mencampur aduk pegangan akidah hingga batas kepercayaan menjadi kabur.
Menjelang sambutan Depavali, persoalan ini kembali dibincang dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Ada berpandangan kehadiran muslim dalam perayaan itu simbol perpaduan. Ada pula bimbang ia membawa penglibatan dalam perayaan keagamaan yang tidak selari ajaran Islam.
Justeru, kita perlu membezakan antara menghormati penganut agama lain, menghadiri pertemuan sosial bersama dan turut serta dalam upacara keagamaan. Ketiga-tiganya bukan perkara sama.
Islam mengiktiraf kewujudan kepelbagaian agama dalam kehidupan tetapi ia bukan bermaksud pengiktirafan terhadap semua kepercayaan sebagai benar menurut perspektif akidah Islam.
Al-Quran menjelaskan kepelbagaian manusia sebagai sebahagian ketentuan Allah SWT. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 13:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan puak supaya kamu saling berkenalan.”
Ayat itu asas penting pembinaan masyarakat majmuk. Allah tidak menjadikan manusia daripada satu bangsa, satu bahasa atau satu kebudayaan. Sebaliknya, manusia dicipta dalam kepelbagaian supaya berkenalan, saling memahami dan membina kehidupan bersama.
Dalam konteks Malaysia, penganut lain ada hak mengamal agama mereka. Mereka ada kebudayaan, tradisi dan perayaan tersendiri. Umat Islam tidak wajar memandang rendah, menghina kepercayaan atau mengganggu kebebasan beragama mereka.
Allah SWT memberi panduan dalam Surah al-Mumtahanah, ayat 8:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu.”
Perhati dua perkataan dalam ayat itu iaitu al-birr dan al-qist. Al-Birr membawa maksud melakukan kebaikan manakala al-Qist bermaksud berlaku adil. Ini menunjukkan hubungan muslim dengan bukan muslim bukan dibina atas dasar permusuhan. Sebaliknya, Islam menggalakkan kebaikan, keadilan, persahabatan dan hubungan kemanusiaan.
Dalam sambutan Deepavali, umat Islam wajar menghormati hak mereka untuk meraikannya. Tidak perlu ada sikap menghina, mengejek atau memperlekeh sambutan mereka. Namun, menghormati bukan bermaksud kita perlu menyertai amalan keagamaannya.
Ada beza antara toleransi beragama dengan pencampuradukan agama. Toleransi bermaksud memberi ruang kepada orang lain mengamal kepercayaan mereka tanpa gangguan. Pencampuradukan agama pula apabila seseorang melibatkan diri dalam amalan yang bercanggah pegangan agama sendiri.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Kafirun, ayat 6:
“Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”
Ayat itu bukan mengajar umat Islam memusuhi penganut agama lain. Sebaliknya, ia memberi penegasan wujud perbezaan prinsip antara agama yang tidak boleh dikaburkan.
Kita boleh bekerjasama dalam pekerjaan, perniagaan dan pembangunan negara. Kita boleh membantu mereka ketika kesusahan. Kita juga boleh hadir dalam pertemuan sosial yang tidak melibatkan ritual keagamaan.
Namun, kita tidak boleh menyertai upacara pemujaan, sembahyang, bacaan mantera, penyembahan dewa-dewi atau ritual kepercayaan mereka. Seorang muslim ada tanggungjawab mempertahan tauhid. Penghormatan terhadap manusia usah sampai mengorbankan prinsip pengabdian kepada-Nya.
Allah mengingatkan dalam Surah al-An’am, ayat 108 supaya umat Islam tidak mencela sembahan penganut agama lain kerana perbuatan itu boleh menyebabkan mereka membalas dengan mencela Allah secara melampaui batas.
Dalam hadis yang diriwayat Abu Dawud, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.” - Abu Daud (4031)
Hadis itu kerap dijadikan sandaran perbincangan mengenai larangan umat Islam meniru amalan yang menjadi identiti khusus agama lain. Namun, hadis itu perlu difahami secara kontekstual.
Bukan persamaan pakaian, makanan, bahasa atau kebudayaan menjadikan seseorang menyerupai agama lain. Perkara yang perlu diberi perhatian ialah penyerupaan dalam syiar dan amalan khusus keagamaan yang membawa makna pengiktirafan atau penyertaan terhadap kepercayaan.
Justeru, seseorang muslim tidak wajar mengambil bahagian dalam ritual keagamaan lain meski atas alasan perpaduan.
Namun, bukan semua acara sambutan bersifat upacara keagamaan. Contohnya, seorang muslim menerima jemputan jiran beragama Hindu untuk makan di rumahnya. Majlis itu hanya melibatkan jamuan, pertemuan keluarga, perbualan dan hubungan kejiranan tanpa sebarang ritual keagamaan.
Ini berbeza jika menghadiri upacara sembahyang di kuil atau menyertai ritual pemujaan. Kita perlu membezakan menghadiri pertemuan sosial dengan perayaan dalam pengertian ritual keagamaan.
Mengikut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan undangan makan sempena Deepavali, umat Islam dibenarkan menerima jemputan dalam kerangka menjalinkan hubungan baik dan keharmonian masyarakat dengan syarat makanan diyakini halal manakala majlis tidak melibatkan ritual yang bertentangan dengan akidah.
Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah penggunaan slogan perpaduan secara tidak terkawal. Kadangkala, apabila seseorang muslim memilih untuk tidak menyertai ritual keagamaan agama lain, dia dituduh tidak bertoleransi, ekstremis atau tidak menghormati masyarakat majmuk.
Pandangan seperti ini perlu diperbetul. Menolak penyertaan dalam ritual agama lain bukan bermaksud membenci penganut agama tersebut. Ia pendirian yang lahir daripada tanggungjawab seseorang muslim dalam mempertahan kepercayaannya.
Bayangkan seorang penganut Hindu tidak mahu menyertai ibadah agama Islam kerana berpegang kepada kepercayaannya. Adakah kita patut menuduhnya tidak menghormati Islam? Sudah tentu tidak.
Kita sepatutnya menghormati pendirian tersebut. Maka, prinsip sama perlu diberi kepada umat Islam. Kita tidak boleh memaksa seseorang muslim menyertai ritual agama lain atas nama perpaduan.
Dalam masa sama, umat Islam juga tidak wajar menggunakan alasan mempertahan akidah untuk menghina, memulau atau melakukan diskriminasi terhadap masyarakat Hindu. Sebaliknya, Islam senantiasa mengajar kita supaya tegas dalam prinsip tetapi baik dalam pergaulan.



