SHAH ALAM, 14 MAC: Warga Selangor yang merancang pulang ke kampung sempena sambutan Aidilfitri digalak memaklumkan pergerakan mereka kepada polis melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memastikan kediaman yang ditinggalkan terus dipantau.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor berkata langkah itu penting bagi membantu pihak polis merancang rondaan pencegahan jenayah secara lebih tersusun sepanjang musim perayaan.
Menurut SAC Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pemakluman awal membolehkan polis mengenal pasti rumah yang ditinggalkan kosong sekali gus meningkatkan pemantauan di kawasan berkenaan.

“Kepada warga Selangor yang pulang ke kampung, rancang perjalanan anda dengan baik dan jangan lupa memaklumkan pergerakan kepada pihak polis bagi memastikan rumah sentiasa dipantau secara berkala.
“Makluman boleh dibuat dengan mudah dan pantas melalui aplikasi VSP di ruangan ‘balik kampung’ atau dengan hadir ke balai polis berhampiran untuk mengisi borang secara manual,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata, sebagai langkah tambahan bagi menjamin keselamatan kawasan perumahan, Polis akan meningkatkan rondaan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) khususnya pada waktu malam.
“Pastikan anda membuat pemakluman supaya dapat meninggalkan rumah dengan lebih tenang dan memulakan perjalanan pulang ke kampung tanpa kebimbangan.
“Kami sentiasa bersama masyarakat kerana polis dan masyarakat berpisah tiada,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah JPJKK Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan seramai 1.7 juta rakyat Malaysia telah mendaftar menggunakan aplikasi VSP.
Melalui aplikasi yang dibangunkan oleh PDRM itu, pengguna hanya perlu mengisi maklumat asas seperti nama, alamat, tempoh meninggalkan rumah serta nombor telefon untuk tindakan lanjut pihak polis.
Maklumat berkenaan kemudiannya akan disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) atau Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) bagi membolehkan rondaan berkala dilaksanakan di kawasan kediaman yang ditinggalkan.
Sistem tersebut turut membantu polis menyusun jadual rondaan secara lebih sistematik mengikut zon selain memberi tumpuan kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ atau ‘blackspot’ jenayah, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan komuniti sepanjang musim perayaan.









