SHAH ALAM, 7 NOV: Malaysia melonjak dua anak tangga ke kedudukan ke-40 daripada 133 negara dalam Indeks Chandler Good Government (CGGI) 2026 berbanding tempat ke-42 pada tahun lalu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pencapaian itu merupakan perkembangan positif yang perlu dijadikan dorongan kepada seluruh warga perkhidmatan awam untuk terus mempergiat agenda reformasi.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata kemajuan berkenaan perlu disusuli usaha berterusan untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, selain mempermudah urusan rakyat dan sektor perniagaan selaras dengan aspirasi Perdana Menteri.

“Melalui Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), setiap kementerian dan jabatan mesti terus memperhebat pelaksanaan reformasi kerenah birokrasi dengan lebih berani dan radikal menerusi pendekatan penyelesaian serta-merta,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan tindakan pantas dalam menangani isu serta memastikan aspek integriti terus menjadi keutamaan dalam setiap keputusan.
Dalam kalangan negara Asia yang disenaraikan, Malaysia berada satu anak tangga di belakang China di tempat ke-39, namun mengatasi Indonesia yang menduduki tangga ke-48. Singapura mengungguli indeks berkenaan di tempat pertama, manakala Jepun berada di kedudukan ke-17.







