Tadbir urus tanah cekap penting elak tuntutan pampasan besar

6 Nov 2026, 12:00 AM
Tadbir urus tanah cekap penting elak tuntutan pampasan besar
Tadbir urus tanah cekap penting elak tuntutan pampasan besar
Tadbir urus tanah cekap penting elak tuntutan pampasan besar
Tadbir urus tanah cekap penting elak tuntutan pampasan besar

KLANG, 6 NOV: Pengurusan dan prosedur pentadbiran tanah yang cekap penting bagi memastikan kewangan negeri tidak terbeban dengan tuntutan pampasan akibat kecuaian, sekali gus melindungi peruntukan pembangunan serta kebajikan rakyat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata kelemahan mematuhi prosedur dan dokumentasi fail boleh mengakibatkan Kerajaan Negeri berdepan tuntutan pampasan serta denda bernilai puluhan hingga ratusan juta ringgit susulan kes saman di mahkamah.

Menurutnya, peruntukan yang digunakan untuk membayar ganti rugi itu sepatutnya boleh dimanfaatkan bagi membiayai pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat.

“Pampasan ratusan juta ringgit ini bukan sekadar angka di atas kertas audit.

"Hakikatnya, setiap ringgit yang melayang untuk membayar ganti rugi akibat kecuaian prosedur atau kelemahan dokumentasi fail, adalah ringgit yang terpaksa kita tolak daripada bajet pembinaan jalan raya, baiki longkang, naik taraf klinik dan bantuan kebajikan,” katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (kanan) mengiringi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (tengah) melihat pameran sempena Seminar Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU) di Wyndham Acmar Klang pada 5 November 2026. Foto Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Seminar Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU): Pengajaran dari Kes Mahkamah – Memperkukuh Tadbir Urus dan Tata Kelola, Mencegah Kesilapan Berulang di Wyndham Acmar di sini, semalam.

Majlis Perasmian Penutup seminar nerkenaan disempurnakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Selain menjejaskan kewangan negeri, kelemahan pengurusan tanah turut memberi kesan kepada produktiviti apabila pegawai, termasuk Penolong Pegawai Tanah dan peguam Kamar Penasihat Undang-Undang, perlu meluangkan ratusan jam bekerja untuk mengesan fail lama, menyediakan afidavit serta menghadiri prosiding mahkamah.

Sebahagian peserta tekun mengikuti Seminar Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU) di Wyndham Acmar Klang pada 5 November 2026. Foto Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

“Masa yang sepatutnya kita guna untuk meluluskan geran rakyat dan merancakkan ekonomi, akhirnya terbuang begitu sahaja untuk 'memadam kebakaran' yang sebenarnya boleh kita cegah dari awal,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Azri berkata pentadbiran tanah merupakan antara tunjang pembangunan fizikal dan ekonomi sesebuah negeri, namun urusan seperti pengambilan tanah, pendaftaran hak milik serta pemberimilikan turut terdedah kepada risiko perundangan.

Justeru, beliau berkata pegawai yang mengendalikan urusan tanah perlu mempunyai kefahaman mendalam mengenai aspek perundangan, selain menguasai Kanun Tanah Negara (KTN), bagi memastikan setiap proses dilaksanakan dengan teliti dan mengikut peruntukan undang-undang.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyampaikan ucapan ketika merasmikan Seminar Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU) di Wyndham Acmar Klang pada 5 November 2026. Foto Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

“Pegawai dan pentadbir tanah mungkin pakar dalam Kanun Tanah Negara, tetapi kita lihat adakah mereka benar-benar mahir dan telah dibekalkan dengan tahap kefahaman pada sudut pandang perundangan.

"Inilah cabaran dan tekad yang perlu ada pada semua, khususnya mereka yang bekerja di Pejabat Tanah,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.