KUALA LUMPUR, 27 OKT: Institusi berkaitan kerajaan yang diberi mandat menjaga kepentingan Bumiputera dan umat Islam perlu menjadi contoh dalam amalan tadbir urus baik, khususnya dari segi integriti, ketelusan dan akauntabiliti pengurusan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata institusi berkenaan sepatutnya mengamalkan prinsip tadbir urus lebih ketat bagi memastikan tanggungjawab yang diamanahkan dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau berkata mandat menjaga kepentingan kumpulan tertentu tidak boleh dijadikan alasan untuk berkompromi terhadap kelemahan pengurusan atau amalan yang bertentangan dengan prinsip tadbir urus baik.
“Memang betul, kebanyakan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) walaupun milik kerajaan sepenuhnya, ada juga yang diperuntukkan bidang kuasa untuk menjaga kepentingan Bumiputera ataupun dalam konteks Tabung Haji, umat Islam.
“Sebab itu sepatutnya prinsip tatakelola, tadbir urus itu harus lebih ketat kerana saya yakin dengan budaya Melayu dan Islam, itu harus kita berikan contoh (yang baik)...janganlah pula apa yang berlaku sekarang ini menunjukkan bila nama Bumiputera ataupun Islam, tapi tadbir urusnya lebih parah daripada syarikat lain,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai langkah memperkukuh tadbir urus korporat GLC dan badan berkanun bagi mengelakkan berulangnya episod penyelewengan melibatkan institusi kerajaan.
Perdana Menteri berkata antara kelemahan perlu ditangani ialah pengawasan terhadap syarikat subsidiari yang tidak semestinya tertakluk kepada kawalan sama seperti agensi induk, sekali gus memerlukan ketetapan undang-undang lebih jelas.
Beliau berkata usaha memperkukuh tadbir urus turut berdepan tentangan kelompok berkepentingan, termasuk elit politik dan usahawan yang sudah terbiasa dengan amalan terdahulu.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan melarang sama sekali campur tangan tokoh politik dalam menentukan projek dan keutamaan pelaburan GLC serta GLIC, sebaliknya keputusan pelaburan perlu dibuat oleh badan pelaburan dianggotai golongan profesional serta individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan keputusan pelaburan dibuat secara teliti dan berhemah, khususnya mengambil kira pengalaman kelemahan tadbir urus yang pernah berlaku sebelum ini.
- BERNAMA







