SHAH ALAM, 21 OKT: Anggota perkhidmatan awam dilarang menggunakan aplikasi navigasi Waze berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN).
Ketua Setiausaha Negara menerusi pemakluman rasmi berkata semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan perlu memastikan arahan itu disampaikan kepada pegawai di bawah seliaan masing-masing untuk pelaksanaan segera.
Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata sebarang pertanyaan atau permohonan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan arahan boleh dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri sebagai agensi penyelaras.

“Kerjasama dan perhatian serius bagi memastikan keputusan ini dipatuhi secara menyeluruh di peringkat kementerian, jabatan dan agensi masing-masing adalah amat dihargai,” katanya seperti dilaporkan Kosmo! Online.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi navigasi tempatan TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif kepada Waze.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata cadangan itu mengambil kira risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan Waze yang tertakluk kepada undang-undang Israel.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat JKSN yang turut meneliti ancaman siber serta usaha memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat,” katanya.
Antara perkara lain yang dibincangkan ialah pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).






