SHAH ALAM, 3 APRIL: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam bahawa pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) yang akan bermula 15 April ini bukan bermaksud 'Baring, Duduk dan Rehat'.
Beliau berkata, dasar tersebut bukan tiket kepada kakitangan awam untuk culas serta mengambil mudah terhadap tugas diberikan, sebaliknya menuntut produktiviti yang sama seperti bekerja di pejabat.
"Jangan salah faham, BDR bukan bermaksud baring duduk rehat, juga bukan beli-belah di pasar raya.
"Output dan produktiviti mesti sama kerana pegawai yang melaksanakan BDR perlu mempunyai KPI (petunjuk prestasi utama) jelas dan ditetapkan lebih awal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Taat Setia Madani sempena Program Jelajah Taat Setia Madani peringkat Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, hari ini.

Majlis yang disertai lebih 2,000 penjawat awam negeri itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Shamsul Azri meminta penjawat awam di Selangor menjadi ejen maklumat tepat iaitu sebagai rujukan keluarga dan rakan-rakan dalam menyampaikan maklumat sahih, khususnya mengenai setiap dasar kerajaan.
Jelasnya, kakitangan awam perlu turut sama bertanggungjawab menerangkan fakta yang betul selain tertakluk dibawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam dan akta berkaitan komunikasi serta rahsia rasmi.
“Sekarang ini zaman media sosial. Perdana menteri selalu sebut 'ini zaman edan'. Fitnah itu tersebar lebih laju daripada berita benar. Dalam konteks taat setia, saya minta penjawat awam Selangor agar menjadi ejen maklumat tepat.
“Jangan kita pula yang jadi orang pertama 'forward' berita palsu dalam kumpulan aplikasi WhatsApp keluarga dan kawan-kawan pejabat termasuklah kawan-kawan rapat,” katanya.












