SHAH ALAM, 8 NOV: Bermula dengan minat terhadap seni sejak kecil, Sivabalan Arumugam kini mengangkat seni kolam ke tahap lebih tinggi apabila berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penghasilan kolam menggunakan 100 warna berbeza.
Pemuda berusia 36 tahun dari Rawang itu mencipta rekod berkenaan menerusi kolam gergasi berukuran 20 x 25 kaki di pusat beli-belah NU Sentral, Kuala Lumpur, sempena sambutan Deepavali pada 2024.
Menggunakan kira-kira 150 kilogram beras berwarna, karya itu mengambil masa dua hari untuk disiapkan dengan menampilkan dua ekor burung merak, pelita tanah liat bersaiz besar serta pelbagai corak tradisional.
Lebih membanggakan, keseluruhan proses mereka bentuk dan menghasilkan kolam berkenaan dilakukan sendiri oleh Sivabalan, manakala pasukannya membantu menyediakan bahan serta tugasan sokongan.

“Pencapaian ini merupakan impian yang sudah lama saya simpan. Apabila akhirnya berjaya direalisasikan, ia menjadi antara detik paling bermakna sepanjang perjalanan seni saya,” katanya kepada Media Selangor.
Jejak seni
Kejayaan itu hasil pengalaman selama 18 tahun dalam bidang seni kolam, yang mula diminatinya sejak berusia 10 tahun.
Tanpa mengikuti latihan formal, Sivabalan mempelajari teknik menghasilkan kolam secara kendiri dengan dorongan bapanya yang turut meminati seni lukisan.
Malah, minatnya begitu mendalam sehingga beliau pernah melukis corak kolam pada kertas jawapan peperiksaan ketika di bangku sekolah.
“Ketika menduduki peperiksaan pun, saya pernah melukis corak kolam pada kertas jawapan. Minat terhadap seni ini memang sudah sebati dengan diri saya sejak kecil,” katanya.

Sepanjang penglibatannya, beliau telah menghasilkan lebih 1,000 karya kolam untuk sambutan Deepavali, selain menerima tempahan bagi majlis perkahwinan, acara persendirian, pusat beli-belah dan bilik pameran jualan kereta.
Sebagai pengasas Life Creation Event Planner dan Life Creation Rangoli Kolam, Sivabalan mula merancang reka bentuk kolam sehingga enam bulan sebelum Deepavali.
“Setiap tahun, saya merancang kira-kira 60 reka bentuk kolam. Sebahagiannya turut disiapkan lebih awal sebelum diserahkan kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, kombinasi warna, ketelitian corak dan keunikan reka bentuk menjadi keutamaan bagi memastikan setiap hasil seni mempunyai identiti tersendiri.

Antara cabaran utama ialah membaiki warna atau corak yang rosak pada bahagian tengah kolam selepas sebahagian besar karya disiapkan.
“Apabila kesilapan berlaku di bahagian tengah kolam, proses membaikinya memang agak rumit. Kita perlu memastikan bahagian lain yang sudah siap tidak terjejas, selain mengekalkan keindahan dan kekemasan keseluruhan reka bentuk,” jelasnya.
Warisan hidup
Selain menitikberatkan keindahan karya, Sivabalan turut mengutamakan kelestarian dengan menggunakan pewarna gred makanan dan mengelakkan bahan kimia berbahaya.
Beras yang digunakan juga tidak dibuang selepas kolam dibuka, sebaliknya disalurkan kepada ladang ternakan ayam di sekitar Rawang untuk dijadikan makanan haiwan.
Dalam pada itu, beliau bimbang minat generasi muda terhadap seni kolam tradisional semakin berkurangan, terutama apabila sebahagian mereka lebih cenderung menggunakan reka bentuk sedia ada berbanding menghasilkan corak sendiri.

Menurutnya, seni kolam bukan sekadar hiasan sempena perayaan, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan jika diceburi secara serius.
“Permintaan terhadap seni kolam biasanya meningkat dengan ketara menjelang Deepavali. Namun, pendapatan daripada bidang ini tidak semestinya konsisten sepanjang tahun kerana peluang dan tempahan lebih banyak tertumpu pada musim perayaan,” katanya.
Justeru, beliau menggalakkan golongan muda mempelajari seni berkenaan dengan bersungguh-sungguh supaya warisan itu terus berkembang dan berpotensi menjadi kerjaya.
Selepas mencipta rekod di peringkat negara, Sivabalan kini menyasarkan untuk menghasilkan kolam menggunakan 1,000 warna berbeza bagi mencipta rekod dunia menerusi Guinness World Records.
Baginya, seni kolam bukan sekadar permainan warna dan corak, sebaliknya warisan budaya yang perlu dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.









