Di Mana Sastera Berdiri Terhadap Diskriminasi (Patriarki Agama) kepada Wanita

7 Nov 2026, 12:30 AM
Di Mana Sastera Berdiri Terhadap Diskriminasi (Patriarki Agama) kepada Wanita

Oleh Akmal Arsat

Ilustrasi Muizzah

Dari sudut teologi, tindakan membunuh jiwa dilarang keras dalam Islam dan diletakkan pada kedudukan dosa paling besar selepas syirik. Apatah lagi jika tindakan membunuh itu dilakukan ke atas maruah, emosi, dan agensi diri para bidadari syurga. Agama Islam yang suci ini hadir membawa sebuah ekosistem keimanan yang menjunjung tinggi martabat wanita, serta menuntut kepimpinan lelaki yang berpaksikan kasih sayang—bukannya satu sistem kepolisian moral yang menindas.

Namun, realiti sosiopolitik dan sistem perundangan dua hala di Malaysia acap kali memaparkan sisi yang berbeza. Sebagaimana yang ditekankan dalam wacana sosiologi Asia Tenggara oleh Susan Blackburn dan Helen Ting (2013), anggapan bahawa wanita di rantau ini secara automatik menikmati status tinggi sering kali menjadi tabir mitos yang melindungi subordinasi struktur, ketidaksamaan kelas, dan birokrasi patriarki. Kaum lelaki sering kali taasub mahu menjelma sebagai pengawal dan hakim yang sibuk mengatur kehidupan wanita, sehinggakan mereka sendiri alpa akan kecacatan moral diri sendiri. Apabila agama dimanipulasi menjadi senjata institusi patriarki demi mengeksploitasi dogma dan mengehadkan kebebasan, sastera muncul sebagai medan perlawanan yang aman. Sastera berdiri tegap bagi mempertahankan ruang suara dan jati diri feminin daripada kezaliman yang berselimut di sebalik topeng kesucian.

Menerusi penyatuan wacana Ginokritik yang dipelopori oleh Elaine Showalter dalam esei berpengaruh beliau, Toward a Feminist Poetics (1979) yang meletakkan wanita sebagai pencipta teks, serta spektrum Islamic Womanism sebagaimana yang diulas dalam buku The Postcolonial Crescent: Islam’s Impact on Contemporary Literature (1998) suntingan John C. Hawley, esei ini berhujah bahawa sastera kontemporari Malaysia bertindak sebagai sebuah ruang tafsiran alternatif yang hidup. Melalui pembongkaran penindasan emosi serta penyingkiran suara wanita daripada naratif arus perdana, sastera dengan tegas menolak manipulasi teologi oleh tangan-tangan patriarki. Alur perkembangan ini sekali gus membuktikan bahawa ruang kebebasan wanita tempatan dicapai melalui penyerahan rohani kepada keadilan ketuhanan yang syumul, bukannya tunduk kepada pasungan kepolisian manusia yang munafik.

Kefahaman mengenai Teori Ginokritik yang diilhamkan oleh Elaine Showalter ini semakin berkembang menerusi kajian-kajian tempatan, termasuk yang diusahakan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman. Tulisan berpengaruh ini meletakkan wanita sebagai pencipta teks yang berupaya mencorakkan makna, gaya, dan tradisi mereka sendiri melangkaui sudut pandang lelaki. Memandang wajah sastera negara, lensa ini menjadi instrumen penting untuk membedah bagaimana penulis tempatan membina ruang suara dan jati diri feminin yang mandiri. Sastera hadir sebagai tapak dekonstruksi apabila penafsiran keagamaan dimanipulasi oleh institusi atau figura berkuasa demi mengekalkan pasungan domestik. Melalui alur perkembangan ini, penulis-penulis tempatan tidak sekadar merakam penderitaan pasif, malah membentuk satu wacana perlawanan yang rencam terhadap monopoli wacana patriarki.

Melihat kepengarangan di Malaysia jelas terpancar evolusi dalam kritikan sosiologikal yang merentasi pelbagai generasi. Meneliti struktur masyarakat tradisional, S. Othman Kelantan menerusi novel Wajah Seorang Wanita mendedahkan kedalaman penderitaan jiwa watak protagonisnya, Siti Musalmah. Himpitan yang dilalui oleh Siti Musalmah bukan sekadar berpunca daripada takdir yang getir selepas kehilangan ahli keluarga, tetapi turut disebabkan oleh rapuhnya sistem sokongan kemanusiaan di sekelilingnya sewaktu era pascaperang. Sebagai seorang balu yang terpaksa bangkit mempertahankan maruah keluarga dan kelangsungan ekonominya secara mandiri, ketabahan Siti Musalmah menjadi satu kritikan sosiologikal yang tajam terhadap struktur komuniti tradisional yang sering meletakkan wanita dalam kedudukan yang subordinat dan pasif.

Penentangan berasaskan keimanan ini seiring dengan tradisi sejarah wanita Islam di Asia Tenggara sebagaimana perjuangan Rasuna Said di Minangkabau yang menggunakan hujah keagamaan secara langsung, mahupun susuk seperti Shamsiah Fakeh yang memupuk kesedaran emansipasi wanitanya daripada tradisi pendidikan agama di Tanah Melayu sebelum bergerak ke medan nasionalisme radikal demi merebut kembali hak kebebasan daripada belenggu hegemoni patriarki tradisional.

Apabila menyentuh wilayah urbanisasi, pertembungan pemikiran antara nilai tradisi dan kemodenan ini menjadi semakin meruncing apabila memasuki ruang pemodenan. Fazleena Hishamuddin menulis kumpulan cerpen seperti Tari Pasar Perempuan dan Diam Dalam Gempita, bagi memotret ketakutan dan kebobrokan sosial yang memburu wanita kota akibat himpitan penguatkuasaan moral luaran di Malaysia. Melalui naskhah tersebut, Fazleena membongkar konflik emosi yang sering dipadam daripada naratif arus perdana. Wanita dituntut menjadi home-centered demi menjaga imej kesucian sosial. Kritikan sosial oleh Fazleena memperlihatkan tekanan kelas dan dikotomi ruang ini menghimpit emosi wanita marginal serta pekerja seni. Keadaan ini mengakibatkan trauma yang mendalam berikutan kepolisian moral di ruang awam, sehingga wilayah peribadi wanita terus dicabuli.

Agensi perlawanan terhadap pasungan ini turut diperkukuh oleh penyair wanita seperti Zurinah Hassan yang menolak gambaran wanita sebagai entiti yang rapuh, dan meneroka ruang kerohanian yang bebas tanpa perlu melalui perantara hegemoni patriarki. Alur pembebasan yang dipaparkan sama sekali tidak boleh disamakan dengan acuan feminisme sekular Barat yang cenderung menolak terus institusi keagamaan.

Menerusi wacana Islamic Womanism yang diketengahkan oleh Miriam Cooke dalam bab Zaynab al-Ghazali: Saint or Subversive? pada teks The Postcolonial Crescent, sastera Malaysia memperlihatkan satu ruang perlawanan yang unik, iaitu subversion from within. Watak wanita tidak mencabut akar keimanan mereka demi meraih kebebasan; malah, mereka menggunakan hujah teologi yang kukuh untuk melawan manipulasi institusi patriarki demi merebut semula autoriti tafsiran teks daripada kelompok lelaki yang korup.

Dimensi teologis ini digerakkan secara radikal oleh Faisal Tehrani melalui karya Perempuan Nan Bercinta. Watak-watak wanita rekaan Faisal sering kali digambarkan sebagai figura yang memiliki kedalaman ilmu agama, yang mampu menggunakan hujah fiqh, maqasid syariah, serta sejarah peradaban Islam untuk menepis pandangan sempit para elit politik konservatif. Pembebasan watak-watak ini—seperti yang terpancar melalui wacana intelektualnya — tidak berlaku dengan cara menanggalkan identiti keagamaan, tetapi dengan membongkar hakikat bahawa sekatan hak bersuara dan kezaliman domestik sebenarnya bersumberkan budaya patriarki purba, bukannya perintah mutlak daripada Tuhan.

Doktrin kepatuhan membuta tuli ini acap kali dibina atas mitos sosiologi tempatan dan pemahaman feudal seperti anggapan bahawa akal dominan pada lelaki manakala emosi pada wanita, sebagaimana yang dirakam dalam etnografi undang-undang keluarga Islam tradisional Pantai Timur yang sengaja dieksploitasi untuk mewajarkan penindasan. Menerusi pemisahan antara keadilan ketuhanan yang syumul dan kepolisian moral manusia yang menindas, sastera membina kekuatan rohani untuk membebaskan wanita daripada belenggu rumah tangga yang toksik tanpa mengorbankan ikatan keimanannya dengan Pencipta.

Autonomi spiritual mandiri ini turut menitis dalam genre puisi dan lirik melalui barisan pengkarya wanita seperti Fazleena Hishamuddin dan Zurinah Hassan yang memperlihatkan luahan rasa wanita Melayu-Islam berkomunikasi secara langsung dengan Tuhan tanpa memerlukan pengantaraan atau tatapan daripada figura agamawan yang bias jantina. Ketaatan kepada iman dijadikan perisai rohani bagi mempertahankan maruah diri daripada mutasi etika masyarakat sekeliling.

Sastera dan esei kontemporari mendedahkan bahawa sekelompok besar wanita tempatan memilih untuk meniti jalan kerohanian yang mandiri, namun pada masa yang sama, tetap lantang memanfaatkan wadah kesenian teater dan penulisan untuk mempertahankan hak kebajikan sivil mereka. Ini membuktikan bahawa ruang lingkup keimanan tidak pernah membunuh potensi wanita, melainkan bertindak sebagai tapak alternatif untuk membina agensi diri yang kukuh di bumi pascakolonial.

Namun begitu, sistem perundangan dua hala di Malaysia acap kali memanjangkan trauma jantina ini melalui pasungan interpretasi teks yang tidak menenangkan wanita. Janji-janji kedamaian spiritual yang dituntut oleh agama dicemari oleh kefahaman kelompok manusia yang kaku. Menerusi novel Perempuan Nan Bercinta, Faisal Tehrani memaparkan bagaimana watak-watak wanita memanfaatkan kedalaman ilmu untuk membongkar hadis-hadis palsu serta tafsiran bias jantina yang sering digunakan untuk meletakkan kedudukan wanita dalam keadaan rentan secara sosial dan domestik.

Untuk memproses serta meluahkan tekanan emosi dan penindasan domestik yang meretakkan jiwa ini, penulis tempatan sengaja memilih teknik estetik yang pecah—seperti struktur naratif yang melompat, realisme magis, dan gaya penceritaan staccato. Teknik ini bukan sekadar eksperimen seni, melainkan cermin konkrit kepada keresahan watak perempuan yang tersepit di tengah-tengah kecacatan moral para pengawal institusi yang menuntut wanita untuk terus bersabar secara membuta tuli atas nama agama, sekali gus menafikan hak mereka untuk mendapatkan ketenangan hidup.

Ketegangan ini bertukar menjadi neurosis ketakutan yang berpanjangan dalam ruang digital. Ekosistem moral masyarakat mengalami mutasi etika yang parah melalui lambakan kata gender slurs, terutamanya istilah ‘kepam’. Istilah menghina ini kerap kali dilontarkan oleh warga maya yang berselimut di sebalik retorik moral dan keagamaan untuk meminggirkan suri rumah, wanita marginal, atau pekerja seni yang tidak mampu secara material untuk kelihatan mewah dan suci mengikut piawaian kelompok patriarki. 

Sastera mendedahkan kemunafikan moral masyarakat yang lebih sibuk menghukum luaran wanita berbanding memberikan empati terhadap penderitaan domestik mereka. Keadaan ini memaksa watak wanita terjerumus ke dalam strategi bertahan hidup yang tersasar demi kelangsungan hidup material, sekali gus membuktikan bahawa sekatan sosio-keagamaan yang kaku tidak menghapuskan kebejatan sosial, melainkan sekadar memutasi cara maksiat itu disembunyikan daripada pandangan awam.

Kemalangan moral sistematik ini turut didekonstruksi oleh Faisal Tehrani melalui satira kontemporari beliau yang membongkar watak agamawan atau figura maskulin yang mengeksploitasi wanita secara seksual melalui institusi perkahwinan bawah umur atau poligami rahsia yang dijustifikasikan dengan dogma. Tindakan subversif watak perempuan digambarkan sebagai tindak balas kecemasan demi kelangsungan hidup oleh tuntutan moraliti yang berat sebelah.

Keresahan ini turut disambut oleh barisan penyair wanita muda kontemporari yang menggunakan puisi sebagai ruang merampas kembali maruah diri, dengan menegaskan bahawa nilai seorang manusia tidak boleh dikecilkan oleh label luaran yang dangkal. Trauma berasaskan jantina ini malah melangkaui sempadan kaum apabila meneliti sastera komuniti minoriti di Malaysia. Isu sensitif seperti penukaran agama anak sepihak sering merakam trauma wanita bukan Islam yang kehilangan agensi terhadap anak-anak dan status perkahwinan mereka akibat polarisasi undang-undang negara.

Secara keseluruhannya, kebangkitan watak-watak wanita yang mandiri serta perwakilan trauma jantina yang rencam ini mencetuskan percanggahan pemikiran yang besar dalam dua wadah penerimaan yang bertentangan. Di bawah acuan liberal-sekular Barat, penulisan realisme subversif yang mendedahkan isu seksualiti dan kemunafikan moral ini dinilai melalui lensa pascamodenisme sebagai cabaran radikal terhadap kekudusan kitab suci dan kegagalan total sistem patriarki Asia Tenggara. Bagi Barat, agensi sejati hanya sah jika dogma agama dibuang sepenuhnya demi kebebasan liberal individu secara total. Sebaliknya, wadah tradisi-keagamaan tempatan dan khalayak Timur membacanya melalui lensa kritik sosial yang mendalam terhadap kemunafikan manusia.

Sastera dihargai sebagai sebuah dokumen sejarah alternatif yang tragik tentang keretakan kontrak sosial. Ia menjadi amaran moral yang mendalam: bahawa apabila agama dimanipulasi menjadi senjata birokrasi dan kepolisian manusia untuk mengawal warganegara, ia sebenarnya sedang melahirkan mutasi etika dan trauma sosial yang merosakkan keharmonian sebuah masyarakat majmuk. Sastera Malaysia berjaya memastikan subjektiviti wanita tetap mempunyai ruang untuk bernafas, mencabar sistem yang korup, dan membuktikan bahawa Islam hadir untuk memuliakan wanita, bukannya membiarkan mereka dipasung oleh kepolisian manusia yang munafik


Kategoriseni budaya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.