Oleh Zulzafry Zulkifly
Ilustrasi Muizzah
“Apakah genre yang patut diteroka oleh Gen Z?” soal hadirin sewaktu saya dan Mudin Haiqal dijemput sebagai panel untuk sesi bual bicara yang membawa topik ‘Gen Z: Baca Apa?’ di Kelah Buku @ Kota Baca, April 2026.
Serasa malang, waktu itu ilham tidak berjalan lancar dan saya menjawab seram, humor dan cinta dan satu-lagi-yang-hilang-dari-ingatan. Hanya selepas soalan seterusnya dilontar oleh moderator Hafiz Latiff, ilham mengetuk kotak fikiran saya dengan kuat. Ketukan itu membingit beberapa hari dalam kepala.
Jawapan yang mahu saya berikan adalah slice of life atau perca kehidupan yang didefinisikan oleh Brigid Alverson sebagai drama kecil yang terjadi dalam kehidupan kita sehari-hari dalam bab-bab pendek dengan saspens yang minimal.
Saya mengenal istilah slice of life daripada siri animasi Jepun seperti Kaguya-sama, A Place Further Than The Universe, K-on! dan lain-lain. Namun animasi dalam genre ini sebenarnya telah mengakrabi Gen Z melalui siri anime Shin Chan dan Doraemon yang pernah ditayangkan pukul 8 malam, hari Sabtu sekitar tahun 2010.
Sepanjang pencarian makna perca kehidupan ini, perkataan mundane berulang kali menyapa. Cambridge Dictionary mendefinisikan mundane sebagai ‘very ordinary and therefore not interesting’ iaitu ‘sangat biasa maka tidak menarik’. Blautoothdmand menilai perca kehidupan sebagai rutin tanpa peristiwa sebagai teras naratif. The Campfire Team pula menyatakan perca kehidupan adalah fiksyen yang memaparkan nuansa dan drama seharian tetapi mempersembahkan momen yang biasa dan tidak menarik dengan cara menonjolkan keindahan dalam hal yang biasa dan tidak menarik tersebut.
Lalu mengapa genre yang tidak menarik dan membosankan ini disarankan kepada sesebuah generasi?
Perca kehidupan dengan ‘kebosanannya’, mengajak pembaca atau penonton untuk duduk sebentar dan berehat daripada hiruk-pikuk hidup. Penceritaan yang terperinci membawa pembaca berhenti sejenak daripada segala yang terjadi dalam kehidupan dan mengalihkan fokus kepada hal banal seperti ini - sebuah dilema kecil yang barangkali pernah kita semua alami.
Pandu Perlahan Pada Waktu Malam dan Berdoa untuk Tidak Pernah Dilahirkan novelet Mohd Azmen memaparkan satu adegan dalam tiga perenggan yang panjang, memperincikan dilema watak utama memilih minuman di kedai serbaneka 24 jam. Kehidupan seharian yang pantas dan menekan diperlahankan oleh perca kehidupan yang menyentuh hal-hal rutin dan ‘bosan’ ini. Kisahnya membawa pembaca menyelak sehelai demi sehelai lembar kehidupan watak utama, hingga pembaca sedar, naskhah ini bukan tentang seorang lelaki yang mempunyai masalah memilih air di kedai serbaneka 24 jam, tetapi tentang seorang lelaki yang lelah dengan syif malam berpanjangan, isu keluarga dan bekas kekasih.
Adegan memilih air tersebut menunjukkan, dalam pergelutan minda yang hebat, dilema memilih air yang tepat berjaya melekakan dan melarikan serabut yang bersarang di kepala kepada hal yang lebih mudah dan tenang.
Hal-hal banal seperti ini, dari satu segi boleh memberi kesembuhan kepada pembaca Gen Z yang terkenal dengan budaya penyembuhan atau healing. Healing menurut Persatuan Psikologi Amerika, merupakan proses pemulihan kesihatan mental dan emosi, ketika individu bekerja menempuh pengalaman sukar dalam kehidupan bagi mencapai takah keseimbangan dan ketenangan dalaman (Siti Suriani Othman, 2024).
Rebecca Ilham melalui tulisannya dalam Dewan Sastera yang memfokuskan isu biblioterapi memetik Maja Djikic yang menyatakan bahawa karya fiksyen dapat menimbulkan kesan kognitif yang menenangkan dalam pemikiran dan jiwa pembaca seterusnya sedikit sebanyak membantu pembaca mendepani pergelutan sehari-hari. Seperca kehidupan dilihat mampu mendatangkan ketenangan dalam ketergesa-gesaan diburu kerja dan beban tanggungjawab dengan kisahnya yang terperinci dan perlahan.
Perca kehidupan juga membuat kita seperti membaca kisah hidup sendiri kerana memiliki elemen keterkaitan. Definisi Brigid Alverson - drama-drama kecil dalam kehidupan sehari-hari - adalah hal yang sering dilalui oleh pembaca, seperti isu kewangan keluarga dalam anime Shin Chan dan isu remaja dalam anime Doraemon. Melalui siri Doraemon kita dipertontonkan pergelutan Nobita dengan pelajaran, keluarga yang berharap lebih daripada kemampuan, cinta tidak berbalas kepada Shizuka, rendah diri kepada Dekisugi juga tumbuk buli oleh Giant dan Suneo.
Kita tertarik dengan Doraemon bukan sahaja kerana elemen humor yang menyerikannya. Kita juga tertarik dengan kisah-kisah ini kerana ia mudah difahami disebabkan elemen keterkaitan tersebut. Episod-episod yang memaparkan Nobita sebagai pelajar sekolah yang dibelit masalah dengan kawan, markah peperiksaan yang rendah, dimarahi ibu bapa dan kelemahan dalam sukan merupakan konflik yang sering berlaku dalam kehidupan manusia yang pernah dan masih remaja.
Karya-karya begini mengambil watak yang berpijak di dunia nyata lalu dihadapkan pula dengan situasi yang barangkali pernah terjadi dalam lembaran hidup penonton (Blautoothdmand, 2016). Isu kekeluargaan, persahabatan, percintaan malah pekerjaan seringkali menjadi lauk utama dalam penceritaannya, iaitu sesuatu hal yang dekat dan boleh dihayati oleh Gen Z. Kisah-kisahnya mampu membuat kita tersenyum, malah menangis tanpa berasa keseorangan kerana di luar sana, wujud insan yang berkongsi masalah yang sama.
Kata Tyler Durden (lakonan Brad Pitt) dalam Fight Club (1999) arahan David Fincher “...kita anak tengah dalam sejarah. Kita tiada tempat dan matlamat. Kita tiada perang besar, tiada zaman meleset. Perang kita adalah perang spiritual, zaman meleset kita adalah kehidupan kita…” Walaupun Tyler Durden merujuk kepada dilema Gen X, namun situasi yang sama masih terpakai untuk Gen Z. Generasi ini tiada konflik besar seperti perang dunia dan zaman meleset. Namun tidak bermakna konflik kehidupan Gen Z tidak boleh mencipta suatu cerita penting.
Gelombang, novel Amal Hamsan menyentuh isu kekeluargaan dan peluang pekerjaan. Watak utamanya, Hawa harus menjaga ibu yang sakit sambil cuba berusaha untuk memuaskan hati ibunya yang sering melebihkan abang dalam banyak hal. Pembaca turut dibawa merasai kesedihan Hawa melihat si ibu yang tenat sebelum ditarik nyawanya. Pada masa yang sama, Hawa turut ditenggelami konflik pergaduhan dengan abang yang tidak bertanggungjawab.
Hawa juga perlu memilih antara pekerjaan berpendapatan rendah yang dekat dengan rumah dan pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi tetapi jauh daripada keluarga. Ijazahnya tidak dapat dimanfaatkan kerana terpaksa bekerja di pasar raya berdekatan rumah. Isu gaji rendah dan peluang pekerjaan yang tidak sepadan dengan ijazah ini adalah antara cabaran yang sering ditempuhi graduan termasuk Gen Z (Hanira Hanafi, 2024). Gejolak hati dan perasaan Hawa yang berkongsi kemelut dengan Gen Z ini pasti dapat difahami dengan lebih baik.
Perca Kehidupan dalam anime juga tidak ketinggalan daripada menyentuh isu pergelutan dalam pekerjaan seperti yang diperlihatkan dalam Barakamon oleh Satsuki Yoshino. Barakamon memotretkan Seishu Handa, penulis kaligrafi yang ditempatkan di sebuah kampung di Pulau Fukue oleh ayahnya. Handa yang sebelum itu dibelenggu kebuntuan ilham akhirnya dirahmati idea yang mengalir deras di kampung tersebut.
Tinjauan oleh Deloitte pada 2023 menunjukkan lebih 52% responden Gen Z berasa lelah di tempat kerja. Kita mungkin bukan seorang penulis kaligrafi yang putus ilham seperti Handa atau Hawa yang meniti gelombang hidup. Namun dari sisi lain, isu ini boleh juga dilihat sebagai cerminan kepada masalah dunia Gen Z yang sering dibelenggu lelah menyeimbangkan hidup dan kerja.
Daripada kedua-dua contoh ini, dapat kita lihat karya-karya seputar perca kehidupan mengetengahkan fungsi susuk di sekeliling yang menjadi tongkat untuk terus menyokong langkah ke hadapan. Hawa mempunyai sahabatnya sebagai sumber kekuatan dan peneman sepanjang waktu sukar. Handa pula menemui penduduk di Pulau Fukue yang mendatangkan ilham dalam hawa kampung yang tidak pernah dihirup. Isu-isu begini jelas dekat dengan realiti Gen Z di samping mewarnakan hal-hal banal yang amat membantu dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Pengkisahan perca kehidupan juga sering datang tanpa susunan plot tradisional (pengenalan, perkembangan, perumitan, klimaks dan peleraian) dan cenderung lebih mudah dan tidak berbelit. Ia hadir dengan struktur: permulaan-cerita-penutup (The Campfire Team). Cerita mudah seperti seorang lelaki ke suatu tempat, bertemu seorang perempuan, berbual lalu membawa hala tuju masing-masing.
Cerpen Muhaimin Subki, Lokomotif ke Utara: Sebuah Perjalanan Waktu yang memenangi hadiah penghargaan Hadiah Sastera Selangor 2022 adalah contoh yang baik dalam menggambarkan struktur ini. Kisahnya tentang perjalanan pulang Abdullah Faisal dalam kereta api setelah tamat perintah kawalan pergerakan akibat COVID-19. Dia duduk bersebelahan Nani, seorang wanita tua yang ramah. Mereka berbual serba-serbi tentang kehidupan sehingga Nani turun di hentiannya di Stesen Ipoh. Kemudian masing-masing membawa diri.
Tanpa susunan plot yang mencabar, bagaimana pula genre ini wajar dan harus dibaca?
Penekanan dalam genre ini lebih tertumpu pada pembinaan watak dan perwatakan ketimbang plot. Ketika Kuliah Oakheart di #KABO, SM Zakir menyatakan, bagi Shahnon Ahmad plot bukan perkara utama dalam cerita tetapi watak dan perwatakanlah yang penting kerana sesebuah cerita dihidupkan oleh watak yang bergerak (A. Muziru Idham, 2022). Salah satu kriteria yang suka saya teliti dalam genre ini, sebagai pembaca atau penonton, adalah watak. Meski menghadapi hal yang membosankan, adakah watak itu unik? Adakah watak itu mampu memastikan pembaca terus menyelak helaian demi helaian atau menonton episod demi episod sehingga tuntas? Persoalan itu sering boleh dijawab dalam beberapa episod atau bab awal cerita.
Novel Pari-pari Suria oleh Nadhirah Ghani dibangun oleh empat watak, Gadis Bunga, Lelaki Zombi, Gadis Buku dan Lelaki Pilu. Kisah perca kehidupan ini mengetengahkan realiti kota dan konfliknya yang dihadapi oleh setiap watak tersebut. Melalui watak Lelaki Zombi sebagai contoh, penulis memaparkan keperitan hidup seorang gelandangan daripada kesusahan mencari makan hingga kesyukuran memiliki sebuku sabun. Setiap bab dalam naskhah ini menggunakan nama atau gelaran watak sebagai tajuk, menjelaskan penekanan yang diberikan pada watak.
Selepas tamat pembacaan sesebuah naskhah, pembaca sering dibelenggu persoalan-persoalan tentang pelbagai perkara seperti pemikiran atau putar belit plot yang menyentak. Melalui genre perca kehidupan, pembaca akan dibiar hanyut bersama-sama wataknya; dengan apa yang telah mereka lakukan, dilema, rutin yang bersebab dan psikologi di sebalik perwatakan.
Sebuah karya perca kehidupan yang baik mampu membuatkan pembaca memahami manusia di sekeliling. Barangkali orang terdekat yang mempunyai tabiat yang sama adalah mereka yang berkongsi trauma dengan watak. Malah, lebih baik lagi jika sesebuah karya dalam genre ini dapat membuatkan pembaca mengenal diri sendiri.
Kisah-kisah dalam perca kehidupan yang ‘bosan’ mungkin kelihatan ringan tetapi kisah-kisah inilah membawa penghayatan tentang perkara-perkara kecil yang sebenarnya istimewa, bermakna dan sangat dekat dalam hidup generasi Z, generasi yang turut mewarisi pertengahan sejarah, menanti semboyan perang dunia ketiga dan terumbang-ambing mencari makna kehidupan.







