MPS tawar pengurangan cukai taksiran hingga RM300 untuk kediaman mesra alam

6 Nov 2026, 10:22 AM
MPS tawar pengurangan cukai taksiran hingga RM300 untuk kediaman mesra alam

SHAH ALAM, 6 NOV: Pemilik kediaman di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang mengamalkan ciri mesra alam sekitar berpeluang menikmati pengurangan cukai taksiran sehingga RM300 menerusi insentif yang ditawarkan pihak berkuasa tempatan itu.

MPS menerusi Facebook memaklumkan permohonan dibuka mulai 4 November hingga 31 Disember ini, melibatkan empat kategori utama iaitu penjimatan tenaga, penjimatan air, pengangkutan hijau serta pengurangan sisa dan kitar semula.

Menurutnya, pemilik kediaman yang menggunakan sistem solar layak memohon pengurangan sehingga RM300, manakala penggunaan peralatan elektrik jimat tenaga menawarkan insentif RM30.

“Bagi kategori penjimatan air, pemilik kediaman yang menggunakan sistem penuaian air hujan layak menerima pengurangan cukai taksiran sebanyak RM30,” menurut makluman itu.

Dalam kategori pengangkutan hijau pula, pemilik kenderaan elektrik (EV) berpeluang menikmati pengurangan sehingga RM150.

Sementara itu, insentif RM30 bagi setiap permohonan turut ditawarkan untuk penghantaran bahan kitar semula, penggunaan mesin kompos domestik dan pelupusan kenderaan berusia lebih 10 tahun.

Bagaimanapun, kemudahan itu hanya terbuka kepada pemilik hartanah dalam kawasan pentadbiran MPS yang menggunakan premis untuk tujuan kediaman sahaja.

Pemohon juga perlu memastikan tiada tunggakan cukai taksiran serta mengemukakan dokumen sokongan yang lengkap.

Permohonan hendaklah dibuat menggunakan borang rasmi dan diserahkan bersama dokumen berkaitan kepada Jabatan Perancang Bandar MPS.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan perincian insentif dengan menghubungi Jabatan Perancang Bandar MPS di talian 03-6126 5865 atau 03-6126 5872.

Semua permohonan tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.