Langgar syarat niaga: MPS keluarkan 29 kompaun, tarik balik enam lesen

2 Okt 2026, 3:54 AM
Langgar syarat niaga: MPS keluarkan 29 kompaun, tarik balik enam lesen

SHAH ALAM, 2 OKT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengeluarkan 29 kompaun dan menarik balik enam lesen penjaja dalam Operasi Pematuhan Penjaja di sekitar Gombak, kelmarin.

Operasi membabitkan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguat Kuasa MPS itu dijalankan di Pasar Malam Taman Samudera serta Gerai MPS di Jalan SBC 12, Taman Sri Batu Caves bagi memastikan peniaga mematuhi syarat lesen dan peraturan perniagaan.

“Operasi ini bertujuan memastikan aktiviti perniagaan mematuhi peraturan serta penggunaan ruang awam tidak menyalahi undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Di Pasar Malam Taman Samudera, pemeriksaan mendapati terdapat peniaga menjalankan perniagaan makanan, minuman dan barangan am tanpa lesen.

Pemeriksaan turut mendapati kesalahan mengambil pembantu warga asing serta penyalahgunaan lesen apabila pemegang lesen membenarkan pihak lain menjalankan perniagaan di tapak yang dilesenkan.

Pegawai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menjalankan Operasi Pematuhan Penjaja di Pasar Malam Taman Samudera, Gombak pada 30 September 2026. Foto Facebook Majlis Perbandaran Selayang

Jabatan Pelesenan mengeluarkan 17 kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan menarik balik enam lesen penjaja atas kesalahan yang dikesan.

Pada masa sama, Jabatan Penguat Kuasa mengeluarkan 11 kompaun serta membuat dua sitaan inventori.

Sementara itu, pemeriksaan di Gerai MPS, Jalan SBC 12, Taman Sri Batu Caves mendapati terdapat peniaga meletakkan kerusi dan meja di tempat awam tanpa permit serta menjalankan perkhidmatan pemasangan cermin gelap tanpa lesen.

Jabatan Pelesenan mengeluarkan satu kompaun di bawah UUK Tred Seksyen 3, manakala Jabatan Penguat Kuasa menyita kerusi, meja dan barangan lain di tiga Gerai MPS di bawah Seksyen 46(1)(d).

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.