SHAH ALAM, 5 NOV: Pemaju projek pembangunan berhampiran Kampung Kenanga, Rawang diarahkan menghentikan kerja pembinaan susulan kejadian tanah runtuh di kawasan itu minggu lalu.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata Majlis Perbandaran Selayang (MPS) turut mengarahkan pemaju segera membina tembok penahan bagi mengurangkan risiko pergerakan tanah yang boleh mengancam keselamatan penduduk berhampiran.
“Pemaju tidak dibenarkan menjalankan sebarang kerja pembinaan lain kecuali kerja menyiapkan tembok penahan tanah itu.
“Pembinaan tembok penahan tanah adalah tanggungjawab pemaju bagi memastikan aktiviti pembangunan tidak menjejaskan keselamatan kawasan kediaman berhampiran.
“Saya sendiri turun meninjau perkembangan kerja dua hari lepas. Tempoh penahan tanah itu hampir siap dibina,” katanya kepada Media Selangor.
Mengulas lanjut, beliau berkata MPS masih menjalankan pemantauan menggunakan alat pengesan yang dipasang di kawasan kejadian bagi menilai tahap keselamatan dan risiko pergerakan tanah.
"Laporan pemantauan sensor itu dijangka dikemukakan pada Selasa depan sebelum MPS membuat keputusan sama ada pusat pemindahan sementara boleh ditutup. Kita perlu memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum semua penduduk dibenarkan pulang," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata setakat ini lima keluarga masih ditempatkan di PPS Kampung Kenanga, manakala sebahagian penduduk yang terjejas sebelum ini sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
"Lima keluarga masih berada di PPS kerana rumah mereka terletak berhampiran kawasan tanah runtuh dan pihak pejabat tanah bimbang dengan risiko sekiranya hujan berlaku.
"Kita jangka mereka mungkin boleh pulang minggu depan, tetapi keputusan itu tetap bergantung kepada laporan keselamatan daripada MPS," ujarnya.
Mengulas risiko kejadian sama di kawasan lain, beliau berkata bentuk muka bumi Rawang dan Selayang yang berbukit memerlukan pemantauan berterusan, khususnya ketika musim hujan.
"Kawasan MPS sebelum ini sering berdepan isu banjir, tetapi dengan keadaan cuaca sekarang serta kawasan yang mempunyai banyak bukit, kejadian tanah runtuh menjadi antara kebimbangan utama.
"Jika kejadian melibatkan tanah kerajaan, tindakan pembaikan boleh dilaksanakan segera dan ada projek yang dapat disiapkan dalam tempoh satu hingga dua bulan.
"Namun, jika membabitkan tanah persendirian, pelaksanaannya lebih rumit kerana kos pembinaan tembok penahan tanah tinggi dan mungkin di luar kemampuan pemilik," katanya.








