Pengecas EV: MPS ingatkan pemilik rumah patuhi syarat keselamatan pemasangan

2 Nov 2026, 5:21 AM
Pengecas EV: MPS ingatkan pemilik rumah patuhi syarat keselamatan pemasangan

SHAH ALAM, 2 NOV: Pemilik rumah perlu memastikan pemasangan petak pengecasan kenderaan elektrik (EVCB) untuk kegunaan sendiri mematuhi aspek keselamatan serta bersesuaian dengan kapasiti bekalan elektrik kediaman.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerusi kenyataan memaklumkan, langkah itu penting bagi mengelakkan risiko keselamatan dan memastikan kemudahan pengecasan dapat digunakan dengan baik.

Menurut MPS, pemilik yang memasang EVCB menggunakan bekalan elektrik sedia ada tanpa membabitkan kerja pengubahsuaian atau pembinaan bangunan tidak perlu melantik Principal Submitting Person (PSP), Submitting Person (SP) atau pelukis pelan bangunan.

Penjelasan itu dibuat susulan persoalan mengenai prosedur pemasangan EVCB yang dibangkitkan menerusi platform TikTok.

“Bagaimanapun, sekiranya pemasangan berkenaan membabitkan kerja ubah suai atau pembinaan, pemilik perlu merujuk Jabatan Bangunan MPS,” menurut kenyataan itu.

MPS menjelaskan, ketetapan berbeza terpakai bagi pemasangan EVCB untuk kegunaan awam, komersial atau berbayar di premis perumahan berstrata dan bukan strata, kawasan industri, institusi, stesen minyak serta kawasan rehat dan rawat (R&R).

Bagi pemasangan dalam kategori berkenaan, keperluan melantik PSP, SP atau pelukis pelan bangunan masih tertakluk kepada Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (GPP EVCB) PLANMalaysia.

Selain itu, setiap pemasangan perlu mematuhi syarat keselamatan kebakaran yang ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“MPS mengambil maklum isu yang dibangkitkan dan berharap penjelasan ini dapat memberi kefahaman kepada orang ramai berhubung prosedur pemasangan EVCB.

“MPS komited memastikan urusan berkaitan pemasangan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik dilaksanakan dengan jelas, teratur serta mematuhi peraturan berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MPS menyokong usaha memperluas penggunaan kenderaan elektrik sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh agenda mobiliti hijau dan pembangunan bandar mampan di Selangor.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Jabatan Pusat Setempat (OSC) MPS menerusi talian 03-6126 5925 atau Jabatan Bangunan MPS di talian 03-6126 5854.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.