Lebih 2,500 pemilik rumah Petaling Jaya terima hampir RM1 juta rebat cukai mesra alam

11 Mac 2026, 4:14 AM
Lebih 2,500 pemilik rumah Petaling Jaya terima hampir RM1 juta rebat cukai mesra alam

SHAH ALAM, 11 MAC: Lebih 2,500 pemilik rumah di Petaling Jaya menerima hampir RM1 juta rebat cukai taksiran sejak 2011 selepas melaksanakan amalan mesra alam di kediaman masing-masing, lapor The Star.

Skim rebat yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu memberi ganjaran kepada penduduk yang menjadikan rumah mereka lebih mesra alam, khususnya dalam aspek penggunaan tenaga, penjimatan air dan pengurusan sisa.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata jumlah keseluruhan rebat yang diberikan kepada pemilik rumah yang layak kini hampir mencecah RM1 juta sejak inisiatif itu diperkenalkan.

Bagi tahun 2025 sahaja, katanya, MBPJ meluluskan 243 permohonan rebat berjumlah RM81,075.28, yang akan dikreditkan kepada penduduk pada penggal kedua 2026.

Menurutnya, penduduk kini boleh memohon dan menyemak status rebat cukai secara dalam talian melalui platform baharu dikenali sebagai PJ Eco Rebate (PJeR).

Platform itu merupakan projek perintis digital pertama oleh pihak berkuasa tempatan di Malaysia, menggantikan proses permohonan secara manual sebelum ini.

“Melalui sistem baharu ini, penduduk boleh menghantar permohonan dan memuat naik dokumen dengan lebih mudah dan cepat,” katanya ketika melancarkan platform berkenaan di ibu pejabat MBPJ.

Zahri turut mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi program Geran Komuniti Lestari Petaling Jaya (PJ SEED) pada tahun ini.

Sejak diperkenalkan pada 2019, program geran itu telah menyokong 180 projek komuniti dengan jumlah pelaburan RM3.2 juta.

Pada 2025 sahaja, sebanyak 27 projek diluluskan dengan nilai pembiayaan melebihi RM513,000.

Beliau berkata inisiatif tersebut menjadi platform penting untuk menggalakkan idea kreatif dan inovatif berkaitan kelestarian daripada organisasi dan komuniti setempat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.