SHAH ALAM, 6 NOV: Selangor mahu memperluas penyertaan warga emas dalam pasaran kerja menerusi latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula, selaras dengan usaha memperkasa ekonomi perak (Silver Economy) ketika Malaysia menuju status negara menua.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, warga emas perlu dilihat sebagai aset dan sumber tenaga kerja yang masih mampu menyumbang kepada ekonomi, bukannya beban kepada masyarakat.
Menurutnya, peruntukan lebih RM40 juta daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027 bagi melatih 8,000 tenaga kerja dalam sektor penjagaan warga emas membuka peluang untuk memperkukuh sektor berkenaan serta menggerakkan ekonomi perak.

“Kerajaan Negeri sangat mengalu-alukan peruntukan ini. Ia satu langkah penting untuk kita gerakkan ekonomi perak. Kita sedang menuju ke arah status negara menua, jadi kita mahu lihat warga emas ini sebagai aset dan tenaga kerja yang aktif, bukannya beban,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata, Selangor bersedia bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia serta agensi latihan kemahiran bagi melaksanakan program peningkatan kemahiran dan latihan semula yang bersesuaian dengan keperluan pasaran.
Antara bidang yang diberi perhatian termasuk kemahiran digital dan ekonomi berasaskan komuniti bagi membolehkan warga emas terus produktif serta mempunyai peluang menyertai pasaran kerja.
Dalam perkembangan berkaitan, Anfaal berkata Kerajaan Negeri turut meneliti kerangka galakan dan pengiktirafan kepada majikan yang mengutamakan kebajikan pekerja berkeluarga, selaras dengan agenda Ekonomi Penjagaan Selangor.

Beliau berkata, cadangan Persekutuan berhubung kelonggaran cuti selepas kelahiran anak kelima juga seiring dengan usaha negeri memperluas amalan tempat kerja mesra keluarga.
Katanya, Kerajaan Negeri menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah melengkapkan Kajian Amalan Pekerjaan Mesra Keluarga di Selangor.
Dapatan kajian itu dibawa ke peringkat kepimpinan menerusi Sesi CEO Roundtable bersama syarikat milikan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi merangka garis panduan dasar tempat kerja mesra keluarga, selaras dengan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
“Mengenai insentif khusus, Kerajaan Negeri memang sedang meneliti kerangka galakan dan pengiktirafan buat majikan yang prihatin serta terkehadapan dalam menyokong kebajikan pekerja berkeluarga,” katanya.
Anfaal berkata, usaha itu turut diteruskan melalui sesi libat urus dan advokasi bersama dewan perniagaan serta sektor swasta bagi meningkatkan kesedaran majikan mengenai kepentingan kebajikan pekerja.
“Selain itu, Selangor akan pastikan dasar sokongan sosial di peringkat negeri sentiasa selari dan saling melengkapi dengan insentif Persekutuan, supaya timbul keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan keluarga buat warga pekerja di Selangor,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu mengumumkan peruntukan lebih RM40 juta bagi melatih 8,000 tenaga kerja dalam sektor penjagaan warga emas.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada persiapan negara menghadapi peningkatan populasi warga emas, selain membuka peluang kerjaya baharu dan melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan sektor penjagaan berkenaan.








