SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan Selangor komited memperkasa ekonomi penjagaan secara holistik pada 2027 dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai hab utama ekonomi penjagaan dan pelaburan rantau Asia Tenggara.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata agenda berkenaan akan terus diperluas merangkumi sokongan kepada isi rumah, pemerkasaan penjaga serta penyediaan perkhidmatan berasaskan komuniti.
“Antara inisiatif yang akan terus diperkukuh termasuk Bantuan Peralatan Penjagaan, Program Pemerkasaan Penjaga, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) serta Khairat Darul Ehsan (KDE).
“Justeru, Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan dan memperluas agenda ekonomi penjagaan secara holistik bagi 2027 termasuk sokongan kepada isi rumah, pemerkasaan penjaga dan perkhidmatan komuniti,” katanya kepada Media Selangor.
Anfaal berkata pendekatan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada bantuan kebajikan, sebaliknya menjadikan ekonomi penjagaan sebagai bentuk pelaburan sosial yang memenuhi keperluan masyarakat sepanjang kitaran kehidupan.
Katanya, Selangor turut berpotensi menjadi destinasi Pelancongan Penjagaan dan Kesihatan susulan usaha memposisikan negeri itu sebagai hab utama ekonomi penjagaan dan pelaburan rantau Asia Tenggara.
Dalam pada itu, Anfaal berkata Kerajaan Negeri akan melaksanakan misi perdagangan khas ke luar negara bagi meneroka peluang pelaburan serta memperluas jaringan dalam sektor berkenaan.
Beliau berkata usaha itu akan memanfaatkan platform seperti Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) serta jaringan Sidang Kemuncak ASEAN bagi memperkenalkan potensi ekonomi penjagaan Selangor kepada pelabur dan rakan strategik serantau.
Menurut Anfaal, langkah itu dijangka memperkukuh ekosistem penjagaan negeri melalui kerjasama antara kerajaan, komuniti dan sektor swasta, di samping membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi baharu berasaskan keperluan penjagaan.
Dalam perkembangan lain, Anfaal berkata Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) yang berlangsung dari 15 hingga 17 Oktober lalu turut mencatat potensi pelaburan bernilai RM7.8 juta menerusi 128 sesi padanan perniagaan.
Daripada jumlah itu, RM1.98 juta melibatkan peranti perubatan dan bantuan manakala RM5.82 juta merangkumi perkhidmatan penjagaan, kesihatan digital dan latihan.







