SHAH ALAM, 9 OKT: Kerajaan mengumumkan bantuan warga emas tahun depan kepada RM1.3 bilion yang akan memanfaatkan hampir 200,000 penerima.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga menurunkan kadar cukai perkhidmatan jagaan warga emas daripada lapan kepada 6 peratus, dengan pengecualian penuh diberikan bagi yuran jagaan sehingga RM96,000 setahun.
Beliau berkata peruntukan lebih RM40 juta turut disediakan melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk melatih 8,000 individu sekali gus membuka peluang pekerjaan dalam bidang ini.
“Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencapai usia 55 dan 60 tahun boleh memilih skim i-Emas untuk menerima pengeluaran bulanan, supaya baki simpanan terus menjana dividen,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan memperuntukan bantuan orang kelainan upaya (OKU) sebanyak RM1.5 bilion yang akan memanfaatkan lebih 300,000 penerima.
Anwar berkata, kadar bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik juga ditingkatkan daripada RM500 sebelum ini kepada RM600 sebulan.
“Ambang pendapatan bagi melayakkan Elaun Pekerja OKU ditingkatkan daripada RM1,700 kepada RM2,000.
“Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 sebulan, untuk memanfaat 150,000 murid istimewa termasuk anak autistik,” katanya.
Anwar berkata, lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu akan dibuka di kawasan desa di
seluruh negara bagi membolehkan anak autistik daripada keluarga susah mendapat bimbingan awal lebih berkesan.
Selain itu, sebanyak 15 premis Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dinaik taraf kepada Pusat Terapi Khusus untuk memanfaat 20,000 OKU Sindrom Down berdaftar.
“3,000 penjaga OKU baharu dibekalkan kemahiran khusus bagi memenuhi keperluan perkhidmatan penjagaan OKU di seluruh negara,” katanya.









