SHAH ALAM, 6 NOV: Beberapa kediaman penduduk di Sabak Bernam mengalami kerosakan, termasuk bumbung diterbangkan angin kencang, susulan kejadian ribut dan hujan lebat malam tadi.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail turun padang meninjau keadaan keluarga terjejas serta melihat kerosakan yang dialami kediaman penduduk.
Beliau berkata perbincangan turut diadakan bersama Pegawai Daerah bagi menyelaras tindakan susulan dan penyaluran bantuan kepada keluarga terlibat.
"Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan serta kebajikan setiap keluarga yang terlibat terus diberi perhatian dan bantuan sewajarnya dapat disalurkan dengan segera," katanya menerusi Facebook.
Susulan kejadian itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar bagi menempatkan mangsa yang memerlukan perlindungan dan tempat tinggal sementara.









