SHAH ALAM, 12 NOV: Seramai 1,500 pelajar di 14 sekolah sekitar Sabak Bernam menerima sumbangan kit alat tulis daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Wakil rakyatnya, Datuk Rizam Ismail berkata inisiatif tersebut bertujuan membantu meringankan beban pelajar selain memberi semangat menjelang peperiksaan penting itu.
“Semoga semua pelajar SPM diberi ketenangan, kekuatan dan keyakinan diri untuk menjawab setiap soalan dengan sebaik-baiknya.
"Ingatlah, usaha yang bersungguh-sungguh hari ini akan menentukan kejayaan masa depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sumbangan itu turut mencerminkan keprihatinan DUN Sungai Air Tawar terhadap keperluan pendidikan dan kebajikan pelajar di kawasan luar bandar, khususnya menjelang musim peperiksaan utama negara.
Peperiksaan bertulis SPM 2025 akan diadakan dari 25 November hingga 23 Disember depan.





