Zon Tumpuan Pelancongan Patuh tingkat keyakinan pelancong, galak perniagaan beretika

7 Nov 2026, 12:00 PM
Zon Tumpuan Pelancongan Patuh tingkat keyakinan pelancong, galak perniagaan beretika
Zon Tumpuan Pelancongan Patuh tingkat keyakinan pelancong, galak perniagaan beretika
Zon Tumpuan Pelancongan Patuh tingkat keyakinan pelancong, galak perniagaan beretika
Zon Tumpuan Pelancongan Patuh tingkat keyakinan pelancong, galak perniagaan beretika
Zon Tumpuan Pelancongan Patuh tingkat keyakinan pelancong, galak perniagaan beretika

SHAH ALAM, 7 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memperkukuh pematuhan undang-undang dalam sektor pelancongan menerusi pelaksanaan Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) 2026 bagi melindungi hak pengguna dan meningkatkan keyakinan pelancong.

EXCO Pengguna Dato' Rizam Ismail berkata, inisiatif itu bertujuan mewujudkan persekitaran perdagangan lebih telus, selamat dan berintegriti di kawasan tumpuan pelancongan, sekali gus menggalakkan amalan perniagaan beretika dalam kalangan pengusaha serta peniaga.

Beliau berkata, pelaksanaan ZTPP merupakan kesinambungan Program Pasar PATUH yang sebelum ini dilaksanakan KPDN Selangor di tujuh lokasi pasar awam seluruh negeri dengan memperluaskan pendekatan advokasi, pendidikan dan kerjasama bersepadu ke kawasan pelancongan.

"Menerusi program ini, penekanan diberikan terhadap aspek kebersihan, keselamatan, pematuhan perundangan, penandaan harga, maklumat barangan, pengurusan premis serta perlindungan kepentingan pengguna," katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu beliau merasmikan program ZTPP 2026 di Golden Palm Tree Resort, Sepang hari ini.

EXCO Pengguna Dato' Rizam Ismail (tiga, kiri) pada Majlis Perasmian Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) KPDN 2026 Peringkat Negeri Selangor di Golden Palm Tree Resort, Sepang pada 7 November 2026. Foto KPDN Selangor

Sebagai salah satu langkah menyokong pematuhan, Rizam berkata KPDN turut menyediakan Tanda Harga PATUH kepada peniaga bagi memastikan harga barangan dan perkhidmatan dipamerkan dengan jelas serta mudah dilihat pengguna.

"Usaha berkenaan diperkukuh menerusi kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tourism Selangor serta Pejabat Daerah dan Tanah Sepang (PDT Sepang).

"Kerjasama itu turut melibatkan peniaga sekitar Pantai Bagan Lalang bagi memastikan pelaksanaan pematuhan lebih menyeluruh, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mematuhi undang-undang dan mengamalkan persaingan perniagaan sihat," katanya lagi.

Rizam menambah Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi turut komited memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan menerusi KPDN, manakala inisiatif ZTPP diharap dapat diperluaskan ke kawasan pelancongan lain di seluruh Selangor.

Sehubungan itu, pengusaha dan peniaga diseru menjadikan pematuhan undang-undang sebagai amalan utama bagi memelihara kebajikan pengguna serta pelancong, sekali gus menyokong pembentukan ekosistem pelancongan lebih berkualiti, berintegriti dan mesra pengguna.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.