KLANG, 5 NOV: Sebanyak 11 jenis barangan keperluan disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 bagi memastikan pengguna mendapat bekalan pada harga berpatutan bagi tempoh 4 hingga 10 November ini.
EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail berkata dua jenis barangan baharu ditambah dalam senarai kawalan tahun ini, iaitu santan kelapa dan ubi kentang import dari China.
“Sebanyak 11 barangan kawalan disenaraikan tahun ini berbanding sembilan tahun lalu. Dua barangan baharu ialah santan kelapa dan ubi kentang China. Kita lihat tadi terdapat santan segar, kelapa parut dan kelapa bulat.
“Lima barangan pula mencatatkan penurunan harga maksimum berbanding tahun lalu, iaitu kelapa biji, kelapa parut, bawang merah besar, bawang merah kecil India dan kacang dal Australia.
“Manakala tiga barangan mengekalkan harga maksimum yang sama, iaitu tomato, cili merah dan bawang merah kecil India (Ros). Kerajaan berusaha menangani kos sara hidup menerusi pelaksanaan skim harga kawalan dan program Jualan Rahmah MADANI,” katanya.
Beliau ditemui pada program pelancaran SHMMP dan Program Jualan Rahmah Madani Deepavali 2026 di ST Rosyam Mall hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Muhamad Hanif Asa’ari.
Mengulas lanjut, Rizam memaklumkan KPDN Selangor mengambil inisiatif khusus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan menganjurkan 155 Jualan Rahmah Madani sempena Deepavali tahun ini.
“Program jualan ini dilaksana dari tempoh 19 Oktober hingga 7 November. Seperti ST Rosyam Mall, sebanyak 92 barangan dijual pada harga istimewa dan julung kali dibuat secara 24 jam sehingga esok tengah hari.
“Rakyat boleh ambil manfaat daripada pelaksanaan skim dan program jualan untuk dapatkan barangan asas pada harga yang berpatutan. Jadi pengguna bijak dan laporkan peniaga yang tidak patuhi peraturan,” katanya.
Tambahnya, pegawai penguatkuasa dan skuad penguatkuasaan yang terdapat di sembilan daerah akan terus memantau dan menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mengikut peraturan.
“Skuad akan bertugas di pasar awam, tani dan pusat beli belah sepanjang tempoh skil dilaksana. Semua peniaga perlu patuhi harga ditetapkan dan gunakan label merah jambu bagi barangan kawalan harga.
“Ketidapatuhan terhadap skim boleh dikenakan penalti bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Terdahulu, ketika sesi pemeriksaan di ST Rosyam Mall, Rizam berpuas hati dengan terhadap harga jualan dan paparan harga promosi serta memaklumkan setakat ini tiada tindakan diambil di bawah skim ini sejak dilancar semalam.
Tahun lalu, KPDN mengambil 445 tindakan undang-undang sepanjang pelaksanaan SHMMP Deepavali 2025 dari 16 hingga 22 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasanya Datuk Azman Adam berkata tindakan itu hasil 4,560 pemeriksaan ke atas premis perniagaan di seluruh negara melibatkan peringkat borong, pengeluar dan runcit.











