SHAH ALAM, 5 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Kuala Langat dan Sepang hingga jam 4 petang ini.
Amaran sama turut melibatkan seluruh Melaka dan Putrajaya, selain beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
Di Kedah, kawasan terjejas ialah Baling, Sik, Kulim, Bandar Baharu dan Kuala Muda, manakala di Pulau Pinang melibatkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
Bagi Perak, amaran dikeluarkan untuk Kerian, Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Larut Matang, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
Di Pahang, kawasan terlibat ialah Rompin dan Bera, manakala Negeri Sembilan melibatkan Port Dickson, Rembau, Jempol dan Tampin.
Sementara itu, lima daerah di Johor turut menerima amaran sama iaitu Pontian, Batu Pahat, Segamat, Tangkak dan Muar.
Di Sarawak, amaran melibatkan beberapa kawasan di bahagian Sibu, Mukah, Sarikei dan Betong, manakala di Sabah membabitkan kawasan di bahagian Tawau, Sandakan, Kudat dan Pantai Barat.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda yang menunjukkan ribut petir dengan hujan melebihi 20 milimeter sejam hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
Amaran berkenaan bersifat jangka pendek dengan tempoh sah tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.






