SHAH ALAM, 6 NOV: Kerjasama agensi kerajaan, sektor korporat dan institusi pendidikan menerusi Program Media Selangor Masuk Kampung 2.0 membolehkan pelbagai bantuan dan perkhidmatan disalurkan secara langsung kepada penduduk Kampung Kalong Tengah, Hulu Yam.
Program itu turut menjadi platform kepada rakan strategik Media Selangor untuk mendekati masyarakat luar bandar, mengenal pasti keperluan setempat serta melaksanakan inisiatif kebajikan, kesihatan dan penambahbaikan kemudahan awam.
Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Selgate Corporation, Saiful Shahiran berkata penyertaan Kumpulan Selgate memberi peluang kepada pihaknya memperluas akses perkhidmatan kesihatan dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan awal.
“Program Media Selangor Masuk Kampung 2.0 merupakan satu inisiatif yang sangat bermakna dalam mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.
“Melalui penyertaan Kumpulan Selgate, kami berpeluang mendekati komuniti setempat, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeriksaan kesihatan dan menggalakkan amalan penjagaan kesihatan secara menyeluruh dalam kalangan ahli keluarga,” katanya.
Menurutnya, kesedaran dan langkah pencegahan awal penting dalam memastikan kesejahteraan keluarga, selain program seumpama itu membolehkan pihaknya memahami keperluan sebenar penduduk.
Beliau turut berharap inisiatif anjuran Media Selangor itu diteruskan dan diperluas ke seluruh daerah di negeri ini.
Sementara itu, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) menyalurkan sumbangan RM17,000 bagi penyediaan Sistem TV Info Solat dan penganjuran Kenduri Rakyat.
Ketua Komunikasi Korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) KHSB, Mahizun Saidin berkata penyertaan kali kedua syarikat itu mencerminkan komitmen berterusan dalam membantu komuniti setempat.
“Penyertaan KHSB dalam inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menyantuni komuniti setempat malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuh kerjasama strategik serta menyemarakkan semangat kebersamaan antara agensi dan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, penglibatan berkenaan selaras dengan aspirasi KHSB untuk memperkasa kehidupan dan membina komuniti berkualiti.
Dalam pada itu, Worldwide Holdings Berhad (WHB) menerusi inisiatif CSR Worldwide Prihatin menyumbangkan kotak makanan kepada 100 keluarga memerlukan.
Syarikat itu turut menyalurkan sumbangan kewangan bagi menaik taraf sistem audio Masjid Al-Falak serta melaksanakan kerja penambahbaikan kemudahan tabika untuk keselesaan penduduk.
Menurut WHB, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat terhadap pembangunan komuniti dan peningkatan kualiti hidup di bawah tonggak sosial dalam kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Dalam aspek kesihatan, Management & Science University (MSU) menyediakan pemeriksaan mata yang mendapat penyertaan lebih 140 penduduk.
Program diketuai Ketua Pusat Inovasi dan Rehabilitasi Penjagaan Mata Peningkatan Kualiti Hidup MSU, Prof Dr Mohd Zaki Awg Isa itu menawarkan pemeriksaan penglihatan, ujian penglihatan warna dan imbasan retina.
Pemeriksaan berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan mata serta menggalakkan pengesanan awal masalah penglihatan.
Program itu turut mendapat kerjasama Bukit Beruntung Golf Club, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Air Selangor, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) dan KDEB Waste Management.
Seramai 115 sukarelawan daripada Media Selangor dan organisasi terlibat menjayakan program berkenaan, dengan sokongan tajaan Concorde Hotel Shah Alam dan Wyndham Acmar Hotel Klang.











