SHAH ALAM, 19 OKT: Golongan berpendapatan sederhana (M40) yang kehilangan pekerjaan atau mengalami kemerosotan pendapatan boleh segera mengemukakan rayuan bagi membolehkan kelayakan menerima bantuan kerajaan dinilai semula.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, saluran rayuan dibuka setiap hari bagi memastikan penerima bantuan yang mengalami perubahan keadaan kewangan tidak tercicir daripada pertimbangan kelayakan, lapor Berita Harian.
“Bagi isu pengangguran, sebenarnya rayuan dibuka setiap hari. Setiap penerima bantuan boleh membuat rayuan kalau status sedia ada sudah berubah dan mereka boleh membuat rayuan dengan segera,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai mekanisme penilaian semula bantuan bersasar kepada isi rumah M40 yang hilang pekerjaan atau mengalami penyusutan pendapatan, tetapi masih dinilai berdasarkan rekod pendapatan terdahulu.
Chin Tong turut memaklumkan kadar pengangguran negara kekal di bawah empat peratus, yang disifatkannya sebagai antara pencapaian dan komitmen kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Belanjawan 2027 turut memberi tumpuan kepada golongan M40 menerusi peningkatan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 selepas kali terakhir disemak pada 2010.
Selain itu, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan satu mata peratusan bagi julat pendapatan bercukai tertentu, manakala skop pelepasan diperluas kepada perbelanjaan penjagaan selepas bersalin, penjagaan ibu bapa dan datuk nenek, kasut sukan, pendidikan serta tuisyen anak.
Bagi membantu pemilikan rumah pertama, kerajaan turut mencadangkan pengecualian duti setem sepenuhnya bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik rumah berharga sehingga RM500,000.
Untuk rumah berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000 pula, pengecualian penuh diberikan bagi RM500,000 pertama, manakala baki harga rumah menikmati pengecualian 50 peratus.
Menurut Chin Tong, kerajaan juga menyasarkan peluasan kumpulan berpendapatan sederhana sehingga jumlahnya melebihi golongan B40, selain memastikan M40 terus menerima manfaat daripada inisiatif yang dilaksanakan.







