KUALA LANGAT, 29 NOV: Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Media Selangor Masuk Kampung’ membuktikan media bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi turut berperanan aktif dalam pembangunan sosial negeri.
Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat Datuk Borhan Aman Shah berkata program santuni masyarakat Orang Asli anjuran Media Selangor Sdn Bhd bersama rakan strategik itu, wajar dipuji dan beliau menyokong untuk ia diperluas ke seluruh daerah.
“Saya nampak ini satu program yang sangat baik, menyantuni Orang Asli khususnya. Mereka ini perlu disantuni dan beberapa perkara yang perlu kita beri fokus antaranya tentang kesihatan, kebersihan dan pembangunan.

“Sangat baik untuk diperluaskan. Bagi saya fokus ke daerah ini lebih baik dan kita boleh lihat kampung yang perlu kita bantu. Di Selangor, ada Orang Asli, Melayu, Cina, India. Kita tidak tumpu satu kaum sahaja.
“Mungkin Media Selangor boleh juga lebarkan program ini kepada kaum dan kawasan pinggir bandar atau luar bandar yang perlu diberi keutamaan,” katanya selepas merasmikan program Media Selangor Masuk Kampung di Kampung Orang Asli Tanjung Sepat hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Orang Asli Tanjung Sepat berkata program yang membawa pelbagai aktiviti termasuk perkhidmatan kesihatan percuma terus ke kawasan mereka, memudahkan akses pemeriksaan asas kepada penduduk.
“Ada yang takut ke hospital atau klinik buat pemeriksaan kesihatan, jadi bila mereka datang sini, lebih mudah. Selain itu kami teruja menerima pelbagai manfaat termasuk bakul makanan, bantuan beg sekolah dan pelbagai lagi,” kata Abeng.

Bagi suri rumah, Eton Amah, semua aktiviti yang dianjurkan memberi peluang kepadanya dan penduduk untuk belajar kemahiran baru, menerima pemeriksaan khidmat kesihatan dan bantuan.
“Kami suka. Contoh saya dapat buat pemeriksaan darah, jika tidak saya perlu ke Klinik Kesihatan. Jadi ia amat memudahkan. Selain itu dapat bakul makanan juga, ” katanya.

Bagi pelajar Shylien Jesyin, 16, program itu memberinya peluang pertama kali untuk mempelajari cara membuat biskut, sekali gus menambah pengalaman dan kemahiran baharu dengan cara yang menyeronokkan.
“Mungkin selepas ini saya boleh buat biskut di rumah. Sebelum ini tidak pernah langsung cuba buat biskut sendiri,” katanya.

Media Selangor Masuk Kampung adalah program CSR anjuran Media Selangor dan beberapa rakan strategik bagi mendekati dan memberi perkhidmatan terus kepada masyarakat.
Berlangsung di Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, aktiviti termasuk mengecat mural bilik muzik, bengkel pembuatan biskut, saringan kesihatan, penyerahan beg sekolah, bantuan baik pulih gelanggang futsal dan serahan bakul makanan.







