Insentif Haji RM1,500 Selangor bantu bakal jemaah kurang berkemampuan

11 Okt 2026, 1:00 AM
Insentif Haji RM1,500 Selangor bantu bakal jemaah kurang berkemampuan

SHAH ALAM, 11 OKT: Insentif Haji Muassasah RM1,500 yang disediakan Kerajaan Negeri disifatkan mampu meringankan beban kewangan bakal jemaah, khususnya golongan kurang berkemampuan membuat persiapan ke Tanah Suci.

Tinjauan Media Selangor mendapati bantuan itu mendapat reaksi positif, namun hebahannya perlu diperluas bagi memastikan lebih ramai bakal jemaah mengetahui manfaat dan syarat kelayakan.

Kakitangan bank, Marwani Ku Hussain, 43, berkata insentif berkenaan amat membantu memandangkan persiapan menunaikan haji memerlukan perbelanjaan besar.

Marwani Ku Hussain,43

“Jumlah (RM1,500) yang diberikan itu banyak dan sangat membantu sebenarnya, terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan kerana kos persiapan untuk menunaikan haji bukan sikit,” katanya kepada Media Selangor.

Marwani yang hanya mengetahui bantuan itu ketika menghadiri kursus haji mencadangkan hebahan dipergiat menerusi media sosial bagi memudahkan penyampaian maklumat.

Sementara itu, jurutera Muhammad Romizi Muhammad Noh, 52, berhasrat memohon insentif berkenaan apabila menerima tawaran menunaikan haji.

Muhammad Romizi Muhammad Noh , 52

“Saya memang berhasrat untuk memohon bantuan ini apabila menerima surat tawaran atau panggilan haji nanti.

“Bagi saya, hebahan mengenai bantuan ini perlu dibuat dengan lebih meluas supaya semua bakal jemaah di Selangor tahu mengenai manfaat yang disediakan,” katanya.

Beliau turut berharap syarat kelayakan dan kaedah permohonan diperjelas supaya bakal jemaah yang layak tidak terlepas peluang menerima bantuan.

Ismail Ibrahim , 62

Bagi kakitangan swasta, Ismail Ibrahim, 62, inisiatif itu wajar dimanfaatkan golongan kurang berkemampuan, manakala hebahannya boleh dipertingkat menerusi televisyen dan saluran media lain.

“Bagi saya, inisiatif ini sepatutnya lebih diwarwarkan lagi supaya lebih ramai orang dapat manfaatnya,” katanya.

Seorang lagi bakal jemaah, Ismail Ariffin, 67, berkata beliau pernah mendengar mengenai bantuan tersebut daripada ahli keluarga, namun belum mengetahui secara terperinci syarat kelayakan dan kaedah tuntutan.

Ismail Arifin , 67

“Saya pernah dengar, tapi butiran lanjut memang tak tahu. Penyebaran maklumat berkenaan (insentif) tak sampai ke orang-orang yang nak pergi haji ni,” katanya.

Beliau bercadang mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan bagi mengetahui kelayakannya menerima insentif tersebut.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.