KLANG, 6 NOV: Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan bank data penghakiman digital atau sistem amaran awal bagi membolehkan pentadbir tanah merujuk keputusan mahkamah terdahulu dan mengelakkan kesilapan pentadbiran sama berulang.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata cadangan itu bertujuan menangani budaya kerja silo yang menyebabkan alasan penghakiman daripada kes mahkamah tidak dikongsi secara meluas dengan pegawai di peringkat daerah.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pengajaran daripada kes terdahulu tidak dimanfaatkan sepenuhnya, sehingga kesilapan teknikal sama berisiko berulang di pejabat tanah lain.
“Pejabat Penasihat Undang-Undang berjuang di mahkamah. Menang atau kalah, alasan penghakiman jarang sekali turun sampai ke meja pegawai di daerah.
"Akibatnya, kesilapan teknikal yang sama di Pejabat Tanah A tahun ini, diulang buat oleh Pejabat Tanah B pada tahun depan. Kita tak belajar dari kesilapan sejarah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU): Pengajaran dari Kes Mahkamah – Memperkukuh Tadbir Urus dan Tata Kelola, Mencegah Kesilapan Berulang di Wyndham Acmar Klang, semalam.
Majlis Perasmian Penutup seminar nerkenaan disempurnakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Ahmad Fadzli berkata, seminar berkenaan turut menjadi platform menghimpunkan pegawai pelaksana dan penasihat undang-undang untuk berkongsi pengalaman serta mengambil iktibar daripada kes mahkamah, sekali gus merapatkan jurang komunikasi antara bahagian.
Beliau berharap cadangan bank data penghakiman digital itu dapat direalisasikan bagi membolehkan semua pentadbir tanah mengakses maklumat berkaitan dan beralih daripada pendekatan menunggu tindakan undang-undang kepada langkah pencegahan lebih awal.
“Kita mahu beralih daripada budaya reaktif (menunggu saman tiba), kepada budaya preventif (mencegah kelemahan sebelum ia berlaku),” katanya.
Sementara itu, Shamsul Azri berkata kekalahan dalam kes mahkamah perlu dijadikan pengajaran melalui pembelajaran institusi yang merangkumi dokumentasi, perkongsian ilmu dan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP).
Menurutnya, organisasi yang berkesan perlu memastikan kesilapan sama tidak berulang, khususnya dalam urusan pentadbiran tanah yang melibatkan keputusan mahkamah.

“Organisasi yang hebat adalah organisasi yang tidak mengulangi kesilapan yang sama buat kali kedua. Khususnya, apabila sesuatu kes tanah kalah di mahkamah, memori institusi dan pembelajaran institusi mesti berlaku.
"Pengajaran daripada kesilapan tersebut mesti didokumentasikan, disebarkan, dan dijadikan sebahagian daripada panduan SOP yang baharu,” katanya.
Dalam aspek integriti pula, Shamsul Azri berkata nilai berkenaan tidak seharusnya terhad kepada slogan atau penolakan rasuah, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui ketepatan dan amanah penjawat awam ketika melaksanakan tugas.
Beliau mengambil isu banjir sebagai contoh, dengan menegaskan bahawa pengurusan bencana bukan hanya berkaitan fenomena alam dan taburan hujan, tetapi turut melibatkan aspek tadbir urus serta integriti dalam penggunaan peruntukan awam.
“Bencana dan musibah banjir bukan hanya soal fenomena alam atau taburan hujan yang luar biasa, ia juga berkait rapat dengan soal tata kelola.
"Dan sejauh mana integriti penjawat awam dalam memastikan setiap sen peruntukan tebatan banjir dibelanjakan tanpa ketirisan,” katanya.








