SHAH ALAM, 11 SEPT: Sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dijadual berlangsung lebih sebulan mulai 28 September hingga 1 November dengan 20 program dan majlis rasmi disusun untuk rakyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata sambutan itu merangkumi pelbagai bidang termasuk kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur dan sukan.
Katanya, keseluruhan sambutan dilaksanakan secara sederhana dan berhemah selaras dengan titah Sultan Selangor, dengan siling perbelanjaan ditetapkan sebanyak RM12 juta.

"Bagi menzahirkan prinsip tadbir urus berhemah, Kerajaan Negeri menjunjung penuh titah Sultan Selangor agar keseluruhan sambutan ini dilaksanakan secara sederhana, berhemah dan berhemah tinggi tanpa sebarang pembaziran. Siling perbelanjaan ditetapkan sebanyak RM12 juta," katanya dalam sidang media di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Menurutnya, kemuncak sambutan dijadualkan pada 25 Oktober bersempena genap 25 tahun pemerintahan Baginda, yang akan menyaksikan tiga istiadat utama.
"Satu Istiadat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama beserta 21 das tembakan, kedua Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Pengangkat Sumpah serta Menjunjung Budi Orang Besar Istana dan Dato' Diraja Selangor.
"Ketiga Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor," katanya.
Bagi membolehkan rakyat bersama-sama meraikan ulang tahun pemerintahan Baginda, Kerajaan Negeri turut menetapkan 25 Oktober sebagai hari kelepasan am bagi seluruh Selangor.
"Memandangkan tarikh tersebut jatuh pada hari Ahad, maka hari berikutnya Isnin 26 Oktober ditetapkan sebagai hari kelepasan am gantian," jelasnya.
Ahmad Fadzli berkata pelbagai program kemasyarakatan dan kebajikan turut disusun termasuk menyantuni anak yatim menerusi Kembara Semenanjung, perasmian Taman Mesra Autisme, Larian Kita serta Majlis Jamuan Teh Diraja.
Katanya, Majlis Jamuan Teh Diraja akan menghimpunkan rakyat dari setiap daerah dengan jumlah keseluruhan 3,000 orang bagi setiap sesi mengikut segmen yang ditetapkan.
"Majlis Jamuan Teh Diraja akan melibatkan rakyat dari setiap daerah dengan jemputan keseluruhan seramai 3,000 orang bagi setiap sesi yang disusun mengikut segmen," katanya.
Program kerohanian pula meliputi Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat, selain Multaqa dan Forum Perdana Ehwal Islam.
Bagi mengangkat warisan dan mendokumentasikan sejarah pemerintahan Baginda, beberapa program turut disusun termasuk Majlis Pelancaran Surat dan Setem Khas, duit syiling peringatan serta pelancaran buku Menjulang Takhta.
Dalam bidang sukan dan pembangunan bakat pula, pengisian merangkumi Majlis Perasmian Kelab Polo dan Equestrian Selangor, Kejohanan Polo Piala Jubli Sultan Selangor serta perlawanan Liga Bola Sepak Bawah 15 Tahun.
Menurut Ahmad Fadzli, beberapa program sepanjang sambutan turut dijangka dihadiri Sultan Selangor dan kerabat diraja.
Sambutan Jubli Perak akan melabuhkan tirai pada 1 November menerusi Istiadat Menjunjung Duli sempena Pemasyhuran Gelaran Orang-Orang Besar Istana dan Dato' Diraja Selangor serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.







