Ketegasan Sultan Selangor jadi pasak kestabilan negeri sepanjang 25 tahun

18 Okt 2026, 12:15 PM
Ketegasan Sultan Selangor jadi pasak kestabilan negeri sepanjang 25 tahun
Ketegasan Sultan Selangor jadi pasak kestabilan negeri sepanjang 25 tahun
Ketegasan Sultan Selangor jadi pasak kestabilan negeri sepanjang 25 tahun
Ketegasan Sultan Selangor jadi pasak kestabilan negeri sepanjang 25 tahun

KLANG, 18 OKT: Ketegasan dan kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sepanjang 25 tahun pemerintahan baginda menjadi antara faktor penting dalam memelihara kestabilan negeri ketika berdepan pelbagai cabaran.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata institusi diraja berperanan sebagai pasak kestabilan ketika Selangor berdepan kegawatan ekonomi, ketidaktentuan politik, bencana alam dan pandemik global.

“Institusi Raja, di bawah kebijaksanaan dan ketegasan Tuanku, telah berfungsi sebagai kompas pedoman, tempat kerajaan memohon nasihat dan tempat rakyat menumpang harap.

“Tuanku tidak hanya bertitah di bilik-bilik mesyuarat atau singgahsana istana sebaliknya Tuanku sentiasa meneliti keluh-kesah rakyat di akar umbi. Inilah nilai kepimpinan berpaksikan jiwa rakyat yang sentiasa menjadi inspirasi kepada patik sekalian,” katanya.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan baginda di Istana Alam Shah, Klang pada 18 Oktober 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, hari ini.

Menurut Ahmad Fadzli, Sultan Sharafuddin turut memberikan penekanan terhadap integriti, ketelusan pengurusan kewangan serta usaha membanteras rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran.

Jelasnya, titah Baginda mengenai kelestarian alam sekitar, termasuk pemeliharaan hutan dan usaha menangani banjir, juga menjadi panduan kepada Kerajaan Negeri dalam merangka dasar berkaitan.

Dalam aspek perpaduan, beliau berkata pendirian Sultan Selangor menolak fahaman ekstremisme dan perkauman sempit menjadi peringatan penting supaya keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terus dipelihara.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, Klang pada 18 Oktober 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Sehubungan itu, Ahmad Fadzli menegaskan setiap titah dan teguran Baginda perlu diterjemahkan melalui pentadbiran yang telus, cekap serta mengutamakan penyelesaian masalah rakyat.

Tambahnya, sambutan Jubli Perak bukan sekadar menandakan 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin sejak 2001, malah mengingatkan penjawat awam supaya melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.

“Penghormatan yang paling hakiki adalah melalui kesungguhan jentera pentadbiran melaksanakan amanah dengan berkesan.

“Patik juga amat mengambil berat titah peringatan Tuanku dari masa ke masa, yang sering menekankan agar penjawat awam menjauhi rasuah, penyelewengan, dan ketirisan,” katanya.

Majlis siri pertama itu menghimpunkan lebih 3,000 rakyat dari empat daerah iaitu Klang, Petaling, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berswafoto bersama rakyat pada Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda di Istana Alam Shah, Klang pada 18 Oktober 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Turut berkenan berangkat Sultan Sharafuddin diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama isteri, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.