SHAH ALAM, 8 OGOS: Reformasi Sistem Tadbir Urus Negeri Selangor (RSTU) akan menjadi pemacu utama dalam mentransformasikan pentadbiran negeri ke arah sistem yang lebih cekap, telus dan responsif.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata RSTU merangkumi lapan bidang reformasi strategik, termasuk pengukuhan tadbir urus dan integriti, pemecahan budaya kerja secara silo, pemerkasaan modal insan serta pelaksanaan sistem penilaian berasaskan hasil.
Menurut beliau, reformasi itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam supaya lebih berkesan, tangkas dan memenuhi keperluan rakyat.
“Reformasi Sistem Tadbir Urus Negeri Selangor (RSTU) akan menjadi pendorong utama kepada transformasi jentera pentadbiran kita.
“Melalui lapan bidang reformasi strategik, program RSTU ini berhasrat mentransformasi penyampaian perkhidmatan awam Selangor kepada sistem yang lebih cekap, telus dan tangkas,” katanya ketika membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.
Dalam pada itu, Dasar Speed Selangor akan dilaksanakan bagi mempercepatkan proses kelulusan perancangan dan pembangunan di negeri ini.
Melalui dasar berkenaan, tempoh kelulusan Kebenaran merancang bagi kawasan industri terancang akan dipendekkan daripada tiga setengah bulan kepada hanya 14 hari bekerja.
Langkah itu dijangka memberi manfaat secara langsung kepada pelabur dan rakyat yang berurusan dengan kerajaan negeri, khususnya dalam urusan berkaitan perancangan dan pembangunan.
Sementara itu, Misi Keenam RS-2 memberi tumpuan kepada pembentukan pentadbiran yang efektif, responsif terhadap rakyat dan mesra perniagaan.
Misi berkenaan menjadi asas kepada usaha kerajaan negeri untuk mengekalkan daya saing Selangor melalui empat bidang utama dan 13 inisiatif yang dirangka dalam RS-2.
Kerajaan Negeri yakin pelaksanaan inisiatif berkenaan dapat memperkukuh sistem penyampaian awam, selain memastikan urusan rakyat dan sektor perniagaan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.
Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan ini atau ini.







