KDEBWM kutip 60 tan sampah banjir, ingatkan risiko longkang tersumbat

6 Nov 2026, 1:00 AM
KDEBWM kutip 60 tan sampah banjir, ingatkan risiko longkang tersumbat
KDEBWM kutip 60 tan sampah banjir, ingatkan risiko longkang tersumbat
KDEBWM kutip 60 tan sampah banjir, ingatkan risiko longkang tersumbat

SHAH ALAM, 6 NOV: Kira-kira 60 tan sampah dan barangan rosak akibat banjir sudah dikutip KDEB Waste Management (KDEBWM) di empat kawasan terjejas di Selangor setakat ini.

Pengurus Besar Kanan Operasi KDEBWM Mohd Idris Mohamed Yusof berkata jumlah itu dijangka mencecah 200 hingga 300 tan berikutan masih ramai penduduk, khususnya di Kampung Melayu Subang, belum mengeluarkan sepenuhnya barangan yang rosak akibat banjir.

“Setakat ini, lebih kurang 18 perjalanan lori telah dibuat dan kira-kira 60 tan sampah telah dikeluarkan.

“Kita jangka jumlahnya boleh mencecah 200 hingga 300 tan kerana penduduk masih belum mengeluarkan sepenuhnya barangan yang rosak akibat banjir,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Menurut beliau, operasi pembersihan tertumpu di empat kawasan utama iaitu Kampung Melayu Subang, Kampung Paya Jaras, Kubu Gajah dan Saujana Aman di Kuala Selangor.

Pengurus Besar Kanan Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM), Mohd Idris Mohamed Yusof.

Katanya, Kampung Melayu Subang antara kawasan paling teruk terjejas dan memerlukan kerja pembersihan lebih intensif kerana masih terdapat lokasi yang belum surut sepenuhnya.

“Antara barangan rosak yang dikeluarkan penduduk termasuk sofa, peti sejuk, karpet dan tikar.

“Bagaimanapun, masih ramai penduduk belum mengeluarkan semua barangan rosak kerana bimbang banjir berulang susulan hujan yang berlaku hampir setiap petang,” ujarnya.

Mohd Idris berkata KDEBWM menyediakan lapan tong Roll-on Roll-off (RoRo) di Kampung Melayu Subang, empat di Kampung Paya Jaras dan tiga di Kubu Gajah bagi mempercepat kutipan sisa banjir.

“Kemudahan tong RoRo turut ditempatkan di Saujana Aman, Kuala Selangor, manakala pekerja dan lori kutipan digerakkan setiap hari mengikut keperluan kawasan terjejas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata laluan sempit di kawasan kampung menjadi antara cabaran operasi, terutama apabila perabot besar yang dikeluarkan penduduk menghalang pergerakan lori kutipan.

“Laluan di kawasan kampung agak sempit. Apabila banyak perabot besar diletakkan di tepi jalan, keadaan ini boleh menyukarkan lori untuk masuk.

“Sebab itu pekerja kita membantu mengangkat sampah dari kawasan yang tidak dapat dimasuki lori. Kita juga sudah bersedia menggerakkan bantuan tambahan dari Selayang sekiranya diperlukan,” tambahnya.

Petugas KDEB Waste Management (KDEBWM) mengumpul sampah dan barangan rosak akibat banjir di Taman Subang Perdana, Shah Alam pada 4 November 2026. Foto Facebook KDEBWM

Menurutnya, pemantauan turut dipertingkat di kawasan yang mempunyai timbunan sampah tinggi bagi memastikan kutipan dilakukan segera, sekali gus mengurangkan risiko pencemaran dan penyakit.

“Jika satu lokasi memerlukan tiga lori, kita akan hantar tiga lori. Kita akan terus memantau dan mengutip sampah yang dikeluarkan penduduk setiap hari.

“Buat masa ini, kita masih mampu mengendalikan kutipan menggunakan lori sedia ada, namun pusat pengumpulan sementara sudah dikenal pasti sekiranya jumlah sampah meningkat secara mendadak,” katanya.

Mohd Idris berkata penggunaan pusat pengumpulan sementara akan dipertimbangkan sekiranya penduduk mengeluarkan barangan rosak dalam jumlah besar secara serentak bagi mempercepat kerja pembersihan.

Beberapa kawasan di sekitar Kampung Melayu Subang dinaiki air akibat hujan lebat pada 4 November 2026. Foto Facebook netizen

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang sampah merata-rata, khususnya ke dalam longkang kerana boleh menyekat aliran air dan meningkatkan risiko banjir kilat.

Katanya, antara sampah yang ditemukan termasuk botol air, beg dan kasut yang berpotensi menyumbat sistem perparitan.

“Jangan buang sampah ke dalam longkang kerana ia boleh menyekat aliran air dan menyebabkan banjir kilat.

“Bagi penduduk terjejas, letakkan barangan rosak di lokasi yang mudah diakses lori kutipan supaya kerja pembersihan dapat dilakukan dengan lebih cepat,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.