PETALING JAYA, 1 NOV: KDEB Waste Management (KDEBWM) membekukan cuti semua kakitangannya pada bulan depan sebagai persediaan menghadapi bencana banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Urusan KDEBWM, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata arahan itu bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan operasi pengurusan bencana negeri berada pada tahap optimum sepanjang akhir tahun ini.
Ramli berkata, KDEBWM turut menambah jentera baharu seperti jengkaut bagi meningkatkan kecekapan operasi pengurusan sisa pepejal, selain mempercepatkan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan kawasan awam di seluruh negeri.
“Saya sudah maklumkan pada semua pegawai, Disember ini cuti dibekukan. Kalau cuti, perlu bergilir-gilir, tak boleh semua. Mesti kena ada pegawai atau kakitangan yang pantau, terutamanya kalau banjir.
“Kita juga sudah siapkan jentera pembersihan, pam jet air, pegawai kita juga siapkan jadual operasi, pasukan simpanan, semua kita sudah sediakan. Kalau ada apa-apa bencana, insya-Allah kita akan gerakan dengan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Kejohanan Bola Tampar Kumpulan KDEBWM di Ara Damansara di sini, hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sebelum ini memaklumkan, MTL dijangka bermula pada 27 Oktober dan berterusan sehingga Mac 2027, dengan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramal berlaku sepanjang fasa awal monsun berkenaan.
Sementara itu, Ramli menyeru penduduk beragama Hindu menggunakan aplikasi i-Clean Selangor bagi membuat permohonan kutipan sampah pukal ketika melakukan aktiviti pembersihan sempena sambutan Deepavali.
Menurutnya, usaha itu bagi memastikan sisa pukal dapat dilupuskan secara teratur dan tidak menjejaskan kebersihan kawasan persekitaran selain mengelakkan masalah pembuangan sampah secara haram.
“Saya menyeru kepada semua penganut agama Hindu, kalau ada barang-barang pukal yang mahu dilupuskan, maklumkan pada kita dan hantar kepada i-Clean, kita akan uruskan secara percuma,” katanya.
Aplikasi i-Clean Selangor yang dilancarkan pada 1 Julai 2016 diperkenal bagi memudahkan penduduk membuat aduan berkaitan kutipan sampah dan pembersihan awam terus melalui telefon pintar.







